AITI lancar bengkel usahawan wanita

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 OGOS – Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI) telah melancarkan bengkel siri eDagang semalam.

Menurut kenyataan yang diterima, bengkel dua hari, yang berlangsung dari 24 hingga 25 Ogos 2020, bertujuan memberikan peserta peluang perniagaan dalam talian menerusi eDagang yang akan membawa kepada perkembangan perkhidmatan pasaran mereka serta pendapatan yang meningkat.

Siri pertama bermula dengan bengkel ‘Wanita dan eDagang’ untuk sekumpulan usahawan wanita tempatan. Peserta diajar aktiviti eDagang asas termasuk penggunaan aplikasi digital dan pemerdagangan produk di pasaran dalam talian.

Bengkel juga termasuk sesi perkongsian oleh pembekal dan peniaga platform eDagang, iaitu Ta-Pow, Weelago dan Nblicious.bn; ceramah keselamatan dalam talian oleh ITPSS Sdn Bhd dan taklimat mengenai program sokongan perniagaan tempatan oleh Darussalam Enterprise (DARe).

Program itu akan dilanjutkan kepada sekumpulan usahawan dari Pusat Kegiatan Warga Emas (PKWE) dan ahli Majlis Perundingan Kampung di seluruh negara.

Diharapkan pada akhir program, peserta boleh menyertai mana-mana platform eDagang tempatan untuk mempromosi dan menjual produk dan perkhidmatan mereka dalam talian. Bengkel semalam dilancarkan oleh TechOne Solutions Sdn Bhd dan disokong oleh Jabatan Pembangunan Kemasyarakatan (JAPEM) di bawah Kementerian Kebu-dayaan, Belia dan Sukan.

Pihak yang berminat untuk mendapatkan maklumat lanjut atau kolaborasi boleh menghubungi Awangku Abdul Aziz bin Pengiran Haji Abdul Rahim di 232 3232 atau e-mel kepada [email protected]

Antara peserta yang menghadiri bengkel yang dianjurkan kelmarin. – Gambar serahan AITI