AITI perjelas gangguan

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 OKT – Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI) telah mengesahkan mengenai masalah beberapa jenama telefon bimbit yang tidak dapat menghubungkan nombor kecemasan kebangsaan iaitu 991, 993, 995 dan 998.

Dalam kenyataannya, AITI mengambil maklum pengguna model telefon bimbit tertentu daripada jenama Xiaomi, Redmi, Poco dan MI yang dibeli di dalam atau luar negara mungkin tidak dapat menghubungi nombor kecemasan tersebut.

Walaupun model telefon bimbit yang terjejas dapat berhubung dengan baik tiga nombor digit lain yang ada, panggilan akan terputus apabila nombor kecemasan (99X) didail.

Setelah melakukan beberapa penyiasatan, pengujian dan perundingan dengan penyedia telekomunikasi tempatan, AITI menyimpulkan bahawa masalah berkenaan muncul jika telefon bimbit yang terjejas beroperasi pada perisian telefon bimbit MIUI Versi 12.5.1 atau yang lebih lama.

Di samping itu, didapati bahawa ia adalah masalah yang diketahui kerana pengguna telefon bimbit dari pelbagai negara juga mengalami masalah yang sama ketika mendail nombor kecemasan negara masing-masing menggunakan model telefon bimbit yang sama.

Sehubungan itu, AITI menasihati orang ramai yang menggunakan model telefon bimbit Xiaomi, Redmi, Poco dan MI, khususnya mereka yang mempunyai MIUI Versi 12.5.1 atau lebih lama, untuk mengemas kini perisian telefon bimbit mereka ke versi terbaharu jika ia tersedia.

Namun, jika tidak ada versi terbaharu perisian mudah alih, pengguna disarankan untuk menambahkan tanda ‘+’ pada akhir digit ketiga nombor kecemasan 99X tanpa ruang yang memungkinkan mereka menyambung ke nombor kecemasan seperti 991+, 993+, 995+, dan 998+.

Semua peruncit telefon bimbit tempatan yang menawarkan jenama Xiaomi, Redmi, Poco dan MI, digalakkan untuk menerangkan mengenai maklumat tersebut kepada para pelanggan.

Untuk penjelasan lebih lanjut mengenai perkara berkenaan, orang ramai boleh menghantar e-mel kepada pihak AITI di alamat info@aiti.gov.bn atau helpdesk@aiti.gov.bn.