Thursday, April 25, 2024
30.9 C
Brunei

    -

    AITI perkenal inisiatif penggunaan digital PMKS

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 FEB – Bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) meningkatkan penggunaan digital, Pihak Berkuasa Industri Teknologi Infokomunikasi (AITI) telah memperkenalkan satu program iaitu Skim Productivity and Efficiency Joint Funding for Digital Adoption (PENJANA) semasa sidang media yang diadakan di Dewan Seri Kerna, Bangunan AITI, Jalan Anggerek Desa, Berakas, hari ini.

    Pengumuman skim tersebut telah disampaikan oleh Ketua Eksekutif AITI, Ir Haji Jailani bin Haji Buntar yang seterusnya melancarkan inisiatif terbaharu itu.

    Turut hadir semasa sidang media itu ialah Timbalan Ketua Eksekutif (Pembangunan) AITI, Dayang Julianah binti Haji Ali Ahmad dan Penolong Ketua Eksekutif AITI, Bahagian Pembangunan Industri, Awang Norshahrul Nizam bin Haji Othman.

    Ir Haji Jailani berkata Skim PENJANA yang diperkenalkan itu selaras dengan mendukung objektif strategik Pelan Induk Ekonomi Digital 2025 dan Pelan Strategik AlTI 2020-2025, untuk membantu PMKS tempatan menggunakan aplikasi digital bagi meningkatkan produktiviti serta membolehkan operasi perniagaan mereka mempunyai keupayaan digital demi mencapai kecekapan dalaman, penjimatan kos dan memberikan tawaran perkhidmatan yang lebih baik untuk kekal berdaya saing dalam ekonomi digital.

    Penggunaan digital diiktiraf sebagai salah satu pendekatan terpenting bagi PMKS untuk terus berada di hadapan dalam persekitaran perniagaan digital yang semakin berkembang maju.

    Ir Haji Jailani, Dayang Julianah dan Awang Norshahrul Nizam ketika memperkenalkan inisiatif tersebut.

    Kepantasan pendigitalan, menurutnya, telah menimbulkan pelbagai cabaran kepada perniagaan tradisional dan proses rantaian nilai mereka, yang membawa banyak peluang bagi PMKS untuk mengintegrasikan teknologi ke dalam operasi perniagaan mereka.

    Dengan peningkatan bilangan inovasi dalam aplikasi digital, AITI telah mengambil inisiatif untuk memacu PMKS tempatan untuk melaksanakan transformasi secara digital dengan menyediakan bantuan dalam bentuk skim pembiayaan bersama.

    Beliau menyatakan untuk mendapatkan Skim PENJANA, perniagaan hendaklah 100 peratus milik tempatan dan dikategorikan sebagai PMKS.

    Perniagaan mesti aktif dan beroperasi sepenuhnya sekurang-sekurangnya selama dua tahun.

    PMKS yang layak boleh memohon pembiayaan bersama untuk menggunakan aplikasi digital, di mana mereka hanya perlu membayar harga maksima sebanyak 50 peratus daripada kos langganan, manakala selebihnya akan dibiayai oleh AlTI.

    Sebagai rujukan mudah, AlTI telah menyediakan senarai aplikasi digital yang telah disokong dan dinilai sebagai terbukti pasaran, kos efektif dan dibekalkan oleh syarikat ICT tempatan.

    Pada masa ini, aplikasi digital yang ditawarkan adalah dalam kategori Digital Point of Sales (POS) dan e-Dagang.

    Permohonan untuk Skim PENJANA kini dibuka bagi semua PMKS tempatan termasuk perusahaan dalam sektor bukan ICT.

    PMKS yang ingin memohon skim ini bolehlah menghantar permohonan mereka dengan sebut harga daripada syarikat aplikasi yang telah disokong.

    Tarikh tutup penghantaran permohonan ialah pada 28 Februari 2022 jam 3 petang. Keterangan lanjut mengenai skim PENJANA boleh didapati di www.aiti.gox.bn/penjana.

    Dalam pada itu, syarikat ICT tempatan yang berminat untuk menawarkan aplikasi digital mereka dan menyertai Skim PENJANA ini adalah dialu-alukan untuk menghantar cadangan mereka ke AITI melalui e-mel di info@aiti.gov.bn.

    Adalah diharapkan Skim PENJANA ini nanti akan dapat memberi dorongan kepada PMKS untuk mengguna pakai dan mengintegrasikan teknologi digital ke dalam operasi perniagaan mereka bagi memastikan kelestari-an ketika negara ini sedang bergerak menuju ke arah negara pintar.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...