Oleh Syahmi Hassan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 SEPT – Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI) telah menyedari bahawa pengguna model telefon bimbit tertentu daripada jenama Xiaomi, Redmi, Poco, MI dan Google mungkin tidak dapat
menghubungi nombor kecemasan negara iaitu 991, 993, 995 dan 998.
Walaupun model telefon mudah alih yang terjejas boleh berhubung dengan baik dengan nombor tiga digit tempatan sedia ada yang lain, panggilan akan terputus apabila mana-mana nombor kecemasan (99X) didail.
Ia merupakan masalah yang diketahui kerana pengguna telefon bimbit dari pelbagai negara juga mengalami isu yang sama apabila mendail nombor kecemasan negara masing-masing.
Sehubungan itu, AITI menasihatkan orang ramai yang menggunakan model telefon bimbit daripada jenama-jenama berkenaan untuk menambah tanda “+” di hujung digit ketiga nombor kecemasan 99X tanpa ruang yang sepatutnya membolehkan mereka menyambung ke nombor kecemasan.
Bagi panggilan ambulans 991, pengguna yang terjejas bolehlah mendail 991+, panggilan polis 993 (993+), panggilan bomba 995 (995+) dan panggilan mencari dan menyelamat 998 (998+).
Semua peruncit telefon mudah alih tempatan yang menawarkan model telefon bimbit daripada jenama-jenama berkenaan untuk dijual, digalakkan bagi memaklumkan maklumat tersebut kepada para pelanggan.
