Tuesday, April 23, 2024
25.8 C
Brunei

    -

    Ajar anak pengetahuan perancangan kewangan

    Oleh Nurdiyanah R.

    Membuat perancangan kewangan merupakan salah satu perkara penting dalam kehidupan seseorang tidak kiralah sama ada muda atau tua bagi memastikan sara diri mencukupi, apatah lagi, ketika seluruh dunia kini berdepan peningkatan kos sara hidup mahu pun keperluan barangan.

    Sehubungan itu, amalan berjimat cermat ialah salah satu aspek terpenting dalam membina asas kewangan yang kukuh. Sebagai ibu bapa, kita perlu memainkan peranan mendidik anak-anak sejak kecil lagi bak kata peribahasa yang lazim didengar, ‘Melentur buluh biar dari rebungnya’.

    Beri wang belanja secukupnya

    Tidak dinafikan juga ada kalanya ibu bapa atau penjaga mahu pun ketua keluarga berasa runsing terhadap jumlah kewangan bulanan yang perlu diperuntukkan bagi menampung perbelanjaan anak-anak atau orang-orang di bawah tanggungan.

    Tambahan lagi, lumrah anak-anak kecil yang biasanya golongan yang tidak mudah mengerti tentang kegigihan dan usaha yang perlu dilakukan untuk mencari wang sehari-hari bagi menyara kehidupan seseorang individu.

    Salah satu tip yang boleh diterapkan ialah jangan terlalu memanjakan anak-anak dengan memberi duit belanja yang terlalu banyak, namun ia bukan bermaksud menjadikan ibu bapa itu kedekut tetapi beri wang belanja secukupnya sahaja.

    Sebagai misalnya, jika mereka menginginkan duit lebih, ibu bapa boleh memberikan upah setelah mengarahkan mereka melakukan kerja seperti membasuh pinggan, melipat kain baju, mencuci kereta dan sebagainya. Sekurang-kurangnya ini dapat mengajar mereka bahawa bukan mudah untuk mendapatkan duit tanpa adanya usaha dan secara langsung mendidik mereka untuk berjimat dengan duit yang ada.

    Sebagai langkah permulaan, ibu bapa atau penjaga mungkin boleh memberikan anak-anak tabung comel bagi membolehkan mereka memasukkan duit syiling atau kertas sendiri.
    Jika anak-anak menginginkan duit lebih, ibu bapa boleh memberikan upah setelah mengarahkan mereka melakukan kerja seperti membasuh pinggan, melipat kain baju, mencuci kereta dan sebagainya.
    Kanak-kanak sekarang lebih terdedah dengan permainan video serta gajet yang bukan calang-calang harganya.

    Didik menyimpan duit terlebih dahulu

    Kanak-kanak sekarang amat berbeza dengan kanak-kanak zaman dahulu, di mana pada era moden kini mereka lebih terdedah dengan permainan video serta gajet yang bukan calang-calang harganya.

    Meskipun ibu bapa atau penjaga mampu namun sewajarnya didiklah anak-anak menyimpan untuk membeli barangan yang dihajati. Perkara ini adalah demi melatih diri mereka untuk terus menyimpan duit sebelum boleh membeli sesuatu yang mereka hajati. Cara ini akan membuatkan mereka menjadi lebih menghargai duit dan barangan tersebut kerana telah bersusah-payah menyimpan.

    Sediakan tabung comel

    Amalan ini memang paling penting, di mana setiap anak perlu dididik dari awal lagi untuk menabung. Sebagai langkah permulaan, ibu bapa atau penjaga mungkin boleh memberikan mereka tabung comel bagi membolehkan mereka memasukkan duit syiling atau kertas sendiri.

    Apa yang perlu dilakukan ialah setiap kali mereka pulang ke sekolah, tanyakan berapa baki duit yang tinggal dan galakkan mereka untuk menyimpan duit ke dalam tabung tersebut. Apabila duit dalam tabung sudah penuh, masukkan ke dalam akaun simpanan mereka masing-masing.

    Selitkan pengajaran kewangan melalui permainan

    Daripada membiarkan mereka leka dengan gajet serta permainan video, apa kata tawan minat mereka dengan permainan merangsang minda seperti Saidina, Monopoly dan sebagainya pada masa lapang bersama.

    Permainan-permainan sedemikian bukan sahaja baik untuk merangsang minda mereka, tetapi ia dapat mengajar tentang ilmu kewangan pada usia yang muda di samping ia dapat mengeratkan lagi jalinan kekeluargaan.

    Role model kepada anak-anak

    Begitu penting sebagai ibu bapa atau penjaga untuk menjadi contoh yang lebih baik dalam berbelanja di hadapan anak-anak iaitu dengan menjauhi sikap boros dari semasa ke semasa.

    Dalam hal ini, ibu bapa atau penjaga perlu sentiasa membiasakan ketika membawa anak-anak membeli-belah bersama untuk mengajar mereka membandingkan harga barangan dan pastikan mereka membeli sesuatu yang perlu sahaja. Maka secara tidak langsung, ia akan mengajar mereka untuk lebih mengutamakan barangan keperluan daripada melayan kehendak semata-mata ketika berbelanja.

    Oleh yang demikian, di saat kita menempuhi dunia yang semakin mencabar, maka begitu mustahak untuk ibu bapa atau penjaga mendidik anak-anak tentang sikap berjimat cermat sejak kecil lagi agar kita sekeluarga akan celik tentang betapa pentingnya ilmu kewangan untuk kepentingan kini dan juga menjamin masa depan yang lebih baik.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sekumpulan gempa bumi gegarkan Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Sekumpulan gempa bumi melanda Taiwan pada awal hari ini, yang paling kuat mempunyai magnitud 6.1, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat...