Ajar belia selamatkan nyawa dalam air

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 SEPT – Seramai 10 orang belia menyertai Kursus Asas Menyelamat Nyawa Dalam Air yang diadakan selama tiga hari bermula kelmarin di  Pusat Belia, Bandar Seri Begawan.

Penyelaras Program, Awang Aznin bin Haji Tahir ketika ditemui memberitahu bahawa tujuan kursus anjuran Pusat Belia berkenaan adalah bagi memberi pendedahan serta maklumat mengenai cara menyelamatkan mangsa lemas di air dengan betul dan tepat bagi mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini semasa proses menyelamatkan mangsa dijalankan.

Memandangkan cuma terdapat seorang pengajar yang bertauliah ketika ini iaitu Haji Yussof bin Haji Matnor, jumlah peserta terpaksa dihadkan kepada 10 orang sahaja untuk tujuan keselamatan dan para peserta kursus sekurang-kurangnya hendaklah pandai berenang, jelas Awang Aznin lagi.

Antara yang diajarkan sepanjang program itu ialah praktikal dan cara menyelamatkan diri, kemahiran menyelamat di darat, latihan air cetek dan dalam, jenis dan cara kemasukan dalam air, jenis dan cara tundaan menyelamat dalam air, latihan ketahanan berenang dalam air, berenang di bawah air sedalam 25 meter, kemahiran pertolongan cemas, tindak balas kecemasan akuatik dan sebagainya.

Kursus yang dibukakan secara percuma tersebut lebih tertumpu kepada cara penyelamatan mangsa ketika berada di kolam renang dan diharap melalui program berkenaan dapat membantu meningkatkan pengetahuan para peserta mengenai prosedur yang tepat dan selamat dalam menyelamatkan mangsa lemas di air.

Gambar ramai peserta bersama penyelaras program dan instruktor kursus di Kolam Renang Pusat Belia.