Ajax juara Belanda berbaki tiga perlawanan

AMSTERDAM, 3 MEI – Ajax melengkapkan kejuaraan liga Belanda yang ke-35 kelmarin dengan kemenangan bergaya 4-0 ke atas Emmen yang sekali gus memberikan gergasi Amsterdam itu gelaran Eredivisie dengan baki tiga perlawanan.

Jurrien Timber, Sebastien Haller, Davy Klaassen dan Devyne Rensch masing-masing menja- ringkan gol untuk Ajax dalam perlawanan yang berlangsung tanpa kehadiran peminat di Johan Cruyff Arena disebabkan oleh langkah pembendungan COVID-19.

Kemenangan itu memberikan pasukan kendalian Erik Ten Hag kelebihan 14 mata ke atas pasukan di tangga kedua, PSV Eindhoven, yang hanya mampu seri 2-2 ke atas Heerenveen, kelmarin.

Ajax mengumumkan Jumaat lalu bahawa mereka akan melanjutkan kontrak pengurus Ten Hag sehingga 2023, menamatkan khabar angin dia akan menuju ke Borussia Dortmund di Bundesliga atau Tottenham di Liga Perdana Inggeris.

“Saya sangat gembira di Amsterdam dan pengurusan telah memberi jaminan bahawa skuad saya ketika ini akan dikekalkan malah diperkuatkan di beberapa posisi,” kata Ten Hag, yang dilantik menjadi jurulatih Ajax sejak 2017. – AFP

Reaksi pemain-pemain Ajax meraikan kejuaraan di Johan Cruyff Arena, kelmarin.- AFP