Ajax tumpaskan Dortmund, mara pusingan 16 terakhir

BERLIN, 4 NOV – Jurulatih Ajax, Erik Ten Hag mengatakan pasukannya mahu ‘menjengkelkan pasukan elit Eropah’ apabila mara ke pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara selepas kemenangan 3-1 ke atas Borussia Dortmund kelmarin, dengan pasukan tuan rumah berang kerana tindakan kontroversi Mats Hummel diberikan kad merah pada separuh masa pertama.

Dortmund berang dengan keputusan pengadil Inggeris, Michael Oliver untuk mengeluarkan Hummels selepas mengasari pemain tengah Ajax, Antony, yang didakwa mereka terlalu kasar.

“Saya tidak tahu bagaimana awda boleh memberikan kad merah dalam situasi itu.

Saya tidak tahu bagaimana pengadil yang sepatutnya mengadili di peringkat Liga Juara-Juara boleh membuat keputusan itu,” kata Hummels kepada penyiar DAZN.

Dia juga menuduh Antony berlakon dan mengatakan pemain Brazil itu ‘betul-betul tidak mempunyai semangat kesukanan.’

“Dia seorang pemain bola sepak yang hebat, tetapi dia perlu belajar menjadi ahli sukan yang bagus,” kata Hummels.

Antony terus memainkan peranan penting, mencipta ketiga-tiga gol ketika Ajax mengubah permainan dalam 20 minit terakhir.

“Kami bertahan dengan gagah berani tetapi adalah sukar apabila awda hanya mempunyai sepuluh orang pemain,” kata kapten Dortmund, Marco Reus.

Dortmund akan beraksi tanpa Hummels apabila mereka berkunjung ke Portugal untuk menentang Sporting Lisbon pada 24 November, satu pertemuan yang akan menentukan siapa antara kedua-duanya yang akan menyertai Ajax dalam pusingan 16 terakhir.

Ketika pasukan Belanda itu mempunyai empat kemenangan dalam empat perlawanan, Dortmund menyamai mata dengan Sporting di tempat ketiga, yang menewaskan Besiktas 4-0 kelmarin. – AFP

Aksi pemain depan Dortmund, Julian Brand merebut bola dengan pemain tengah Ajax, Daley Blind dalam perlawanan Kumpulan C Liga Juara-Juara di Dortmund, Jerman barat kelmarin. – AFP