AJC anjur Simposium Maya Ulang Tahun ke-54 ASEAN

TOKYO, 18 OGOS – Pusat ASEAN-Jepun (AJC) akan menganjurkan Simposium Maya Ulang Tahun ke-54 ASEAN mengenai “Integrasi Wilayah Ekonomi dan Sosial ASEAN dalam Kebiasaan Baharu” pada 27 Ogos 2021.

Ia akan dianjurkan bersama dengan Sekretariat ASEAN dan Jawatankuasa ASEAN di Tokyo, sebuah jawatankuasa terdiri daripada 10 duta besar ASEAN yang berpusat di Jepun, yang disokong oleh Kementerian bagi Hal Ehwal Luar Jepun, Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri Jepun (TBC) dan Yayasan Keamanan Antarabangsa.

Pada simposium itu, Pemenang Nobel 2007 dalam bidang Ekonomi, Profesor Eric S. Maskin, Adams Profesor Universiti dan Profesor Ekonomi dan Matematik di Universiti Harvard,
akan menyampaikan satu ucapan utama.

Ia akan diikuti oleh satu perbincangan panel di antara pegawai-pegawai terkemuka dari ASEAN, termasuk Timbalan Setiausaha Agung ASEAN bagi Komuniti dan Hal Ehwal Korporat, dan pakar-pakar dari universiti-universiti di Jepun, di mana mereka akan bertukar-tukar pandangan dan membincangkan mengenai globalisasi dan ketaksamaan di ASEAN di bawah kebiasaan baharu.

AJC adalah sebuah organisasi antara kerajaan yang ditubuhkan oleh Negara-negara Anggota ASEAN dan Jepun pada tahun 1981, dengan matlamat untuk menggalakkan perdagangan, pelaburan, pelancongan serta pertukaran orang-keorang di antara Negara Anggota ASEAN dan Jepun.

AJC telah menganjurkan Simposium Ulang Tahun ASEAN sejak 2017 untuk memperingati penubuhan ASEAN, dan mengumpulkan pemegang kepentingan ASEAN dan sektor awam dan swasta Jepun untuk membincangkan isu-isu semasa di ASEAN. – Bernama