AJK takmir kendali program dalam normal baharu

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 SEPT – Dengan situasi wabak COVID-19 di Negara Brunei Darussalam dalam keadaan terkawal, ahli Jawatankuasa (AJK) Takmir Masjid Hassanal Bolkiah Kampung Mentiri mula menyusun beberapa program takmir masjid berkenaan bagi sepanjang tahun ini.

Pegawai Hal Ehwal Masjid, Pengiran Salehin bin Pengiran Tejuddin selaku ketua imam masjid telah menjelaskan beberapa program keagamaan telah dicadangkan untuk dikendalikan dalam sama-sama mentakmirkan masjid, semasa mempengerusikan mesyuarat bersama AJK takmir masjid berkenaan.

“Semua aktiviti yang dikendalikan nanti juga terikat dengan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan dan arahan-arahan daripada Jabatan Hal Ehwal Masjid dalam mengawal penularan wabak COVID-19,” jelasnya.

Antara aktiviti yang bakal diadakan ialah Forum Belia yang akan dibukakan kepada seramai 200 peserta yang terdiri daripada belia-belia masjid di Daerah Brunei dan Muara.

Forum Belia sempena Awal Tahun Baharu 1442 Hijrah itu nanti dianjurkan bersama Unit Belia Bahagian Imarah Jabatan Hal Ehwal Masjid dan Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dengan kerjasama Masjid Hassanal, Bolkiah Kampung Mentiri.

Sementara itu, Bengkel Menghalusi Ibadah Solat pula antara aktiviti menarik akan berlangsung pada 12 dan 13 September depan dan akan dikendalikan oleh Pengasas Bersama Al-Minhaaj Centre, Awang Abdul Rahman Haji Ajak.

Bengkel berkenaan dibukakan kepada orang ramai dengan mereka yang berminat boleh berhubung dengan Al-Minhaaj Centre.

Dalam pada itu, Pengiran Salehin melahirkan rasa gembira apabila beberapa kelonggaran telah diberikan membolehkan jemaah kembali mengadakan aktiviti bertadarus manakala kelas Muslimah di masjid berkenaan juga sudah dibuka semula dengan menurut garis panduan yang telah ditetapkan.

“Dengan kerjasama yang diberikan daripada semua AJK takmir dan jemaah dalam mengendalikan program-program takmir akan memberikan kejayaan yang cemerlang
sekali gus membentuk jalinan persaudaraan yang erat,” tambahnya.

Mesyuarat bersama AJK Takmir Masjid Hassanal Bolkiah Kampung Mentiri.