BANDAR SERI BEGAWAN, 7 FEB – Pusat ASEAN-Jepun (AJC) akan menganjurkan Program Rangkaian Usahawan Wanita ASEAN-Jepun (AJWELP) ke-4 pada 10 hingga 13 Februari depan di Negara Brunei Darussalam.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini, AJWELP dianjurkan bersama Darussalam Enterprise (DARe) dengan kerjasama Sekretariat ASEAN, Jawatankuasa Penyelarasan ASEAN mengenai Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (ACCMSME), Rangkaian Usahawan Wanita ASEAN (AWEN) dan pertubuhan-pertubuhan berkaitan lain.
Program akan merangkumi acara pembentangan perniagaan pada 12 Februari yang bertujuan untuk menghubungkan usahawan-usahawan wanita baharu bersama syarikat-syarikat yang memberi sokongan dan mentor-mentor.
Semasa acara pembentangan itu, para finalis AJWELP mewakili setiap negara anggota ASEAN akan membuat pembentangan mengenai pelan perniagaan mereka dan cabaran-cabaran yang mereka hadapi di hadapan wakil-wakil syarikat dan usahawan-usahawan wanita (mentor) dari negara anggota ASEAN dan Jepun.
Acara berkenaan dibukakan kepada orang ramai terutamanya usahawan wanita dari negara anggota ASEAN.
Seramai 25 orang usahawan wanita akan menyertai program berkenaan dan hadirin akan berpeluang untuk membangunkan rangkaian bersama mereka menerusi konsultasi perniagaan dan resepsi rangkaian, yang akan diadakan sejurus selepas pembentangan perniagaan.





























