Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Jun – Usahawan muda tempatan, Awangku Abdul Azim bin Pengiran Yusof merupakan antara 21 orang finalis yang disenarai pendek bagi Anugerah Shell LiveWIRE Top Ten Innovators, pertandingan global yang mengetengahkan dan memberikan anugerah kepada pelbagai perusahaan yang mempamerkan kecemerlangan dalam inovasi.
Anugerah itu dibukakan kepada alumni LiveWIRE Shell iaitu program pembangunan keusahawanan utama Shell dengan anugerah pada 2018 dikendalikan dengan kerjasama Shell Retail di mana perusahaan LiveWIRE Shell yang cemerlang akan dikenal pasti.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh LiveWIRE Brunei, di sini, hari ini, para pemenang bagi Kategori Penyelesaian Tenaga, Rangkaian Bekalan Runcit dan Perusahaan Sosial akan diumumkan kemudian.
Kenyataan itu juga menjelaskan, Shell percaya bahawa dengan menyokong idea-idea baharu dan usahawan berinovatif yang mencari penyelesaian dalam pengurangan sisa, penyelesaian tenaga efisien, tenaga bersih dan impak sosial positif, mereka dapat sama-sama bekerjasama ke arah mencapai matlamat mengenal pasti penyelesaian tenaga bersih serta berusaha ke arah masa depan rendah karbon.
Menyentuh mengenai penyertaan Awangku Abdul Azim dalam anugerah itu, Pengarah Program LiveWIRE Brunei, Pengiran Redzuan bin Pengiran Haji Abbas berkata bahawa dengan Awangku Abdul Azim bertanding dalam anugerah itu di pentas global, ia memberikan peluang untuk mengetengahkan lagi bakat dan inovasi komuniti perusahaan negara.
Dalam hubungan itu, beliau mengalu-alukan semua orang untuk memberikan sokongan kepada Awangku Abdul Azim dengan mengundi untuk CT Learn melalui undian orang ramai.
Sementara itu, Awangku Abdul Azim dipetik ketika menerangkan mengenai CT Learn menyatakan bahawa ia merupakan platform yang menghubungkan pelajar dan guru mengikut daerah, mata pelajaran dan masa di mana perkhidmatan yang ditawarkan adalah untuk memberikan peluang bagi guru-guru atau pelajar menjadi tutor di rumah.
Kenyataan juga menyatakan bahawa Naib Presiden Eksekutif Shell Retail, Istvan Kapitany dipetik menyatakan perasaan teruja untuk melihat penyertaan 21 finalis yang mewakili pelbagai negara dan yang mempunyai pemikiran ke hadapan serta inovatif bertanding.
Beliau menambah bahawa ciri-ciri itu dinilai tinggi oleh Shell Retail dan berharap peluang untuk bekerjasama dengan inovator berkenaan akan membantu untuk mencapai matlamat kemapanan dan impak sosial yang dikongsi bersama.
Menurut kenyataan itu lagi, undian orang ramai bagi anugerah itu dibuka bermula 25 Jun hingga 1 Julai di mana mereka boleh membuat undian bagi perusahaan pilihan mereka di laman sesawang, https://www.livewire.shell/topteninnovators.
Para pemenang anugerah dan ranking bagi 10 inovator terbaik akan dibuat oleh panel hakim pakar dan keputusannya akan diumumkan semasa Minggu Keusahawanan Global 2018 (GEW 2018).