Akad nikah di rumah tidak dibenarkan

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 SEPT – Dalam usaha tambahan bagi membendung penularan wabak COVID-19, Kementerian Kesihatan dengan kerjasama Mahkamah Syariah mengumumkan bermula esok (27 September 2021) akad nikah di rumah persendirian tidak lagi dibenarkan.

Pengumuman khusus bagi pasangan yang ingin melangsungkan akad nikah di rumah persendirian itu dikongsikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan hari ini.

Yang Berhormat Dato seterusnya menjelaskan bahawa kebenaran pelaksanaan akad nikah hanya dibenarkan di Pejabat Pendaftaran Perkahwinan, Perceraian, Pembatalan dan Ruju’ Orang-Orang Islam di setiap daerah di mana kebenaran berkahwin dikeluarkan.

Sementara itu bakal-bakal pengantin dan keluarga masing-masing dinasihatkan untuk merujuk kenyataan akhbar Mahkamah Syariah mengenai perkara ini.

Pada masa yang sama Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham juga menyeru dan mengingatkan orang ramai untuk mematuhi segala arahan yang telah dikeluarkan bagi mengawal penularan wabak COVID-19. 

Orang ramai dinasihatkan untuk tidak keluar rumah tanpa tujuan yang penting dan jika perlu keluar rumah untuk tidak pergi ke tempat-tempat sesak serta mengamalkan penjarakan sosial. 

Di samping itu juga untuk sentiasa mengamalkan langkah-langkah keselamatan diri seperti memakai pelitup muka, membersihkan tangan dan etika bersin dan batuk yang betul.