Akademi Dakwah 2.0 ketengahkan isu solat

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWA, 20 Jan – Tema solat diangkat dalam sesi pertama Program Akademi Dakwah 2.0 yang bermula semalam dan berakhir petang ini, anjuran Ahli Jawatankuasa Badan Sukarelawan Belia Da’ie Pusat Dakwah Islamiah, dengan kerjasama Program Keagamaan Belia (PKB) yang diadakan di Pusat Dakwah Islamiah.

Program yang disertai 50 orang belia itu bermula de-ngan peserta melapor diri di asrama Pusat Dakwah Islamiah diikuti solat Maghrib dan Isyak. Peserta kemudiannya menghadiri kuliah pertama bertajuk Segalanya Bermula di Sini disampaikan oleh Pengarah Pusat Penyelidikan Kefahaman Ahli Sunnah Waljamaah, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Dr Haji Harapandi Dahri.

Pada kuliah itu, Dr Haji Harapandi menekankan mengenai solat sebagai suatu nikmat daripada Allah SWT dan permulaan kepada segala perubahan ke arah kebaikan dan usaha memeliharanya sepanjang hidup.

Manakala pada hari kedua, peserta menghadiri kuliah bertajuk Solatku Perfect disampaikan oleh Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-undang Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dr Abdurrahman Raden bin Aji Haqqi yang mengajak peserta memperbaiki dan menghalusi gerak-geri dan bacaan dalam solat serta menekankan hikmah perintah Allah untuk hambaNya mendirikan solat.

Manakala pada sesi dialog bersama pegawai Tanah Perkuburan, Haji Mohammad Burhanuddin bin Haji Damit bertajuk Sebelum Tiba Masaku peserta ditanai rasa keinsafan dan kesedaran bahawa kematian itu pasti melalui penceritaan pengalaman pegawai yang terlibat dalam menguruskan hal ehwal jenazah sehingga ke tanah perkuburan.

Pada sesi ini juga, peserta turut melakukan beberapa aktiviti seperti muhasabah berkumpulan bertajuk Solat Pertamaku yang mana para peserta menceritakan kepada kumpulan mereka mengenai perasaan pertama kali mendirikan solat dalam hidup mereka.

Antara peserta yang mengikuti Program Akademi Dakwah 2.0 yang diadakan di Pusat Dakwah Islamiah.