Akademi perkasa masa depan wanita progresif

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 MAC – Bersempena dengan Hari Wanita Antarabangsa 2020, Progresif Cellular Sdn Bhd telah melancarkan Akademi Masa Depan Wanita Progresif (Progresif Women’s Future Academy) di Cultivate Bistro, Ibu Pejabat Progresif, hari ini.

Hadir pada majlis pelancaran akademi tersebut ialah Ketua Strategi Jenama Progresif, Dayang Hafiza binti Mohamad; Jurulatih Kehidupan dan Perniagaan, Dayang Lisa binti Ibrahim, dan Pengasas Big BWN Project dan Wommennovation Brunei, Dayang Noorhafizah binti Rashid.

Akademi yang pertama seumpamanya di negara ini itu bertujuan untuk memperkasa dan menggalakkan pertumbuhan profesional dan peribadi wanita pada tahap yang lebih tinggi melalui sesi latihan 18 minggu yang dirancang untuk membantu wanita mengenal pasti matlamat dan potensi penuh, sambil membina perniagaan dan kehidupan yang lebih menguntungkan dan mampan untuk masa depan mereka.

Di samping itu, akademi juga bertujuan untuk membantu mengubah cabaran menjadi peluang dengan bekerja bersama pemilik perniagaan wanita untuk mencapai kejelasan, fokus dan mengambil tindakan ke arah mereka bentuk dan membina perniagaan dan kehidupan yang mereka cintai.

“Kami fikir bahawa pada tahun 2020, kita harus melakukan sesuatu yang lebih berkesan, terutamanya bagi wanita di seluruh negara,” kata Dayang Noorhafizah.

Dengan kerjasama Women- novation Brunei, inisiatif pemerkasaan wanita tempatan di bawah Big BWN Project, para peserta akan dilatih oleh Dayang Lisa yang merupakan jurulatih bersekutu yang diiktiraf (ACC) di peringkat antarabangsa di bawah Persekutuan Jurulatih Antarabangsa (ICF) serta pengamal diiktiraf bagi Neuro Linguistic Programming (NLP).

Beliau yang tidak asing lagi dengan industri perniagaan tempatan di negara ini, mempunyai lebih daripada 20 tahun pengalaman menjalankan syarikat serta banyak usaha keusahawanan dan kini telah memulakan kerjaya bimbingan.

Kohort pertama dibukakan kepada empat calon, dengan umur minimum 23 tahun yang mana permohonan dibuka pada 12 Mac ini dengan tarikh akhir 21 Mac.

Akademi Masa Depan Wanita Progresif adalah sejajar dengan tanggungjawab sosial korporat utama Progresif untuk pendidikan dan keusahawanan, dan adalah di bawah platform ‘Progresif Minds’.

Dayang Hafiza, Dayang Lisa dan Dayang Noorhafizah semasa pelancaran Akademi Masa Depan Wanita Progresif di Cultivate Bistro, Ibu Pejabat Progresif.