Akademi Pertahanan ABDB raikan ulang tahun ke-11

Oleh Ak Zaki Kasharan
Gambar serahan Kementerian Pertahanan

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 NOV – Akademi Pertahanan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (AP ABDB) meraikan sambutan hari ulang tahun (HUT) yang ke-11 di Dewan Auditorium, AP ABDB, hari ini, dengan mengikut garis pandu Fasa Peralihan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemangku Komandan AP ABDB, Leftenan Kolonel (U) Azmie Iskandar bin Ariffin. 

Turut hadir ialah Pengerusi Majlis Sambutan HUT AP ABDB ke-11, Leftenan Komander Mohd Khairul Anuar bin Abdullah, pegawai-pegawai dan anggota-anggota tentera dan awam AP ABDB.

Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan diikuti dengan ucapan tetamu kehormat yang mengimbas kembali perjalanan dan pencapaian akademi itu di sepanjang 11 tahun sejak penubuhannya serta perancangan masa hadapan AP ABDB. 

Beliau juga dipetik menyatakan bahawa AP ABDB telah mengendalikan latihan dan kursus dengan efektif dalam menghadapi cabaran semasa penularan wabak COVID-19 dengan menggunakan keupayaan teknologi digital yang menggambarkan kemampuan AP ABDB untuk mengadaptasi dan berdaya tahan pada sepanjang fasa norma baharu.

Pemangku Komandan AP ABDB, selaku tetamu kehormat ketika memberikan Anugerah Pegawai Tidak Bertauliah Kanan Terbaik kepada Staf Sarjan Mohd Royzi.
Antara yang hadir dalam Majlis Sambutan Hari Ulang Tahun AP ABDB ke-11 di Dewan Auditorium, AP ABDB.

Beliau seterusnya berharap agar AP ABDB akan terus berusaha dengan lebih tekun dalam mencapai visi dan misi akademi untuk menjadi sebuah institusi pendidikan profesional ketenteraan yang bertaraf dunia serta merealisasikan Perancangan Strategik AP ABDB 2035, di samping menerima perubahan norma baharu. 

Di samping itu, beliau dalam ucapannya juga menekankan kepentingan latihan dan pendidikan sebagai faktor penting dalam membina angkatan tentera yang berkemampuan, bersiap siaga dan efektif sepertimana yang dinyatakan dalam Kertas Putih Pertahanan 2021.

Sebagai tambahan, beliau turut menggalakkan seluruh anggota AP ABDB untuk terus giat aktif dalam memperkembangkan strategi-strategi baru dalam mengadaptasikan kepada keadaan semasa dan masa hadapan.

Penghargaan juga diucapkan kepada anggota AP ABDB yang telah berkhidmat dan sedang berkhidmat untuk sama-sama menyokong pendekatan whole-of-government dalam menangani gelombang kedua wabak COVID-19 dengan efektif dan memuji keberanian, dedikasi dan pengorbanan semua anggota.

Kenyataan menyatakan, majlis diteruskan dengan penyampaian anugerah penghargaan tahunan kepada anggota yang mempamerkan prestasi yang cemerlang dan menyalurkan sumbangan besar kepada organisasi pada tahun 2021. 

Majlis menyaksikan Anugerah Pegawai Tidak Bertauliah Kanan Terbaik diberikan kepada Staf Sarjan Mohd Royzi bin Rosli, manakala Lans Korperal Mohd Azreen bin Aspar menerima Anugerah Pegawai Tidak Bertauliah Rendah Terbaik.

Kemudian, majlis diteruskan dengan persembahan klip video yang menayangkan aktiviti dan pencapaian AP ABDB serta perasmian lima nama jalan baharu di Perkhemahan AP ABDB sebelum majlis diakhiri dengan bacaan Doa Kesyukuran oleh Guru Agama AP ABDB, Awang Abdul Nasir bin Hassan.