AS akan miliki vaksin COVID-19 Hujung tahun

WASHINGTON, 4 MEI – Amerika Syarikat (AS) akan mempunyai vaksin COVID-19 sebelum tahun baharu, kata Presiden Donald Trump semalam, lapor agensi berita Anadolu.

“Kami sangat yakin akan dapat menghasilkan vaksin menjelang akhir tahun ini, pada hujung tahun,” kata Trump.

“Kami sedang berusaha keras.”

Menurut pakar, vaksin memerlukan masa 12 hingga 18 bulan untuk dihasilkan.

“Nanti doktor akan berkata, ‘Anda sepatutnya tidak boleh cakap seperti itu.’ Saya akan cakap apa yang saya fikir … Saya rasa kita akan dapat hasilkan vaksin lebih cepat,” tambahnya.

Beliau juga mendesak supaya sekolah dan universiti dibuka semula pada September dengan berkata, “saya mahu mereka kembali.”

Dalam pada itu, kematian akibat wabak COVID-19 di AS meningkat kepada 1,450 dalam tempoh 24 jam, menurut data yang dikeluarkan oleh Universiti John Hopkins.

Ia menjadikan jumlah keseluruhan kematian di negara itu lebih daripada 67,000 setakat ini.

Universiti di Baltimore juga merekodkan lebih 1.15 juta kes pandemik di AS setakat semalam. – Bernama/AFP