Monday, November 4, 2024
30.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Akaun media sosial Atilia digodam

    Penyanyi Atilia mendedahkan dirinya menjadi mangsa penipuan secara dalam talian selepas menerima jemputan kerjasama podcast berbayar dengan sebuah syarikat antarabangsa.

    Taktik scammer atau penipu itu menyebabkan Atilia atau Raja Putri Atilia Raja Haron, 50, kehilangan akses kepada akaun sosial media miliknya secara tiba-tiba.

    Bukan hanya hilang 68,000 jumlah pengikut di Facebook, penyanyi itu juga meluahkan kebimbangan jika ada individu lain cuba menyamar menggunakan identitinya.

    “Saya hilang semua akaun sosial media tetapi berjaya mendapatkan semula kecuali Fanpage Facebook dengan jumlah pengikut 68,000.

    “Saya bimbang ada orang lain yang cuba menipu menjadi diri saya,” katanya menerusi satu hantaran di Instagram baru-baru ini.

    Atilia nasihat orang ramai supaya lebih berhati-hati. – mStar

    Dalam perkongsiannya itu, Atilia turut menjelaskan situasi sebenar yang berlaku sehingga ketika diajak mengadakan mesyuarat secara atas talian bagi membincangkan kerjasama berkenaan.

    Menurut Atilia, sebelum itu menerima emel daripada pihak tersebut dan merasakan ia sebuah organisasi yang wujud serta tulen.

    “Saya pernah menerima tawaran sebegini dan awalnya ia nampak asli. Saya terima tawaran tersebut.

    “Kami bermesyuarat secara atas talian dan diminta untuk berkongsi skrin untuk mereka tunjukkan cara bersiaran langsung.

    “Dalam tempoh seminit, kursor saya diambil alih dan ada perubahan pada tetapan di Facebook,” jelasnya, menurut mStar.

    Dalam pada itu, Atilia juga berharap agar tiada individu lain yang menjadi mangsa sepertinya.

    “Baca emel dan sentiasa percaya pada naluri. Jangan kongsi skrin melainkan awda betul-betul yakin.

    “Saya harap tiada orang lain yang menjadi mangsa,” ucapnya. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda