Pelakon dan pengacara Malaysia, Uyaina Arshad meluahkan rasa kecewa apabila akaun TikTok miliknya dipadam secara kekal.
Ia dipercayai Uyaina atau Saidatul Naseha Uyaina Arshad, 31, lantang bersuara mengenai kekejaman rejim Zionis Israel terhadap Palestin di akaunnya itu.
“Akaun TikTok saya telah diharamkan secara kekal,” katanya kepada mStar.
Uyaina berkongsi mengenai perkara itu menerusi aplikasi X yang turut memuat naik tangkap layar yang memaparkan notifikasi diterima daripada pihak TikTok.
Dalam hantaran berbeza, Uyaina turut berkongsi e-mel yang diterima mengesahkan akaun yang mempunyai 600,000 pengikut itu disebabkan melanggar garis panduan komuniti ditetapkan.

Bagaimanapun, tindakan itu tidak mematahkan semangatnya sebaliknya akan menghasilkan akaun baharu di platform berkenaan.
“Tak apa, kita cuba lagi. Buat dan post lagi,” ujarnya.
Sehubungan dengan itu, rata-rata warganet kagum dengan semangat Uyaina malah bersedia untuk menjadi salah seorang pengikut di akaun TikTok terbaharunya nanti.
Mereka turut berterima kasih kepada pengacara berkenaan kerana tidak berputus asa dalam menyatakan sokongan kepada rakyat di Palestin.
“Pengorbanan perjuangan online awda amat dihargai. Terima kasih banyak-banyak.
“Kalau dah buat akaun baharu jangan lupa beritahu, kami sedia memberi sokongan lagi.
“Satu kena ban, kita buka yang lain!” antara komen warganet. – Agensi