Akaun Twitter digodam

WASHINGTON, 19 JULAI – Twitter berkata semalam penggodam ‘memanipulasi’ beberapa pekerjanya untuk mengakses akaun dalam serangan menyasarkan tokoh profil tinggi, termasuk Joe Biden dan Elon Musk, dan meminta maaf atas serangan tersebut.

Pos yang cuba memperdaya orang untuk menggodam Bitcoin disiar di Twitter oleh laman rasmi Apple, Uber, Bill Gates dan ramai orang lain pada Rabu, memaksa Twitter menutup sejumlah besar akaun dalam usaha mengawal kerosakan.

Penggodaman juga menimbulkan persoalan mengenai keselamatan Twitter tatkala ia berfungsi sebagai megafon untuk ahli politik sebelum pilihan raya pada November. Mata wang maya bernilai lebih daripada AS$100,000 dihantar kepada alamat e-mel yang disebut di Twitter, menurut Blockchain.com, yang mengawasi transaksi wang kripto.

“Kami tahu mereka mengakses alat yang hanya disediakan kepada kumpulan sokongan dalaman kami untuk menyasarkan 130 akaun Twitter,” kata satu kenyataan yang disiarkan semalam di blog Twitter.

Untuk 45 akaun tersebut, penggodam berjaya menetap semula kata laluan, log masuk dan menghantar tweet, tambahnya, sementara data peribadi lapan pengguna dimuat turun.

Twitter berkata ia sedar mengenai tanggungjawabnya terhadap pengguna dan masyarakat pada umumnya.

“Kami berasa malu, kami berasa kecewa, dan lebih dari itu, kami meminta maaf,” kata Twitter.

Twitter menutup akaun yang terjejas dan membuang tweet palsu. Ia juga menutup akaun yang tidak terjejas oleh penggodaman sebagai langkah berjaga-jaga.

Kebanyakan akaun tersebut kini telah dipulihkan, kata Twitter semalam.
Untuk 130 akaun yang diakses, Twitter berkata penggodam berjaya melihat maklumat peribadi termasuk alamat e-mel dan nombor telefon. – AFP

Gambar fail menunjukkan token bitcoin di Sandy, Utah. Penggodam menceroboh akaun Twitter ahli politik, jutawan teknologi dan syarikat besar dalam komplot Bitcoin pada 15 Julai 2020. – AP