Saturday, April 20, 2024
23.6 C
Brunei

    -

    Akaun WeChat PM Australia lenyap, China dituduh

    SYDNEY, 24 JAN – Akaun WeChat Perdana Menteri Australia, Scott Morrison telah hilang, sekaligus mencetuskan dakwaan berlaku ‘campur tangan’ China daripada anggota kanan kerajaannya hari ini. Akaun Morrison pada aplikasi media sosial China, yang dilancarkan pada Februari 2019, nampaknya telah digantikan dengan nama bertajuk ‘kehidupan baharu Australia China’.

    WeChat ialah platform mesej dan media sosial yang sangat dominan di China, di mana perkhidmatan Barat seperti WhatsApp, Facebook dan Twitter telah disekat.

    Tidak ada komen daripada Morrison tetapi seorang senator dari parti pemerintah Liberal berhaluan tengah menuduh Beijing menjadi dalang di sebalik kejadian tersebut.

    “Apa yang dilakukan kerajaan China dengan menutup akaun perdana menteri adalah suatu campur tangan asing dalam demokrasi kami,” kata James Paterson kepada radio 2GB hari ini.

    Paterson menyeru ahli politik Australia untuk memboikot WeChat sebagai tindak balas.

    Akaun WeChat Scott Morrison telah hilang, menyebabkan tuduhan ‘campur tangan’ China daripada anggota kanan kerajaannya. – AFP

    Menurut halaman tentang akaun tersebut, nama ‘Kehidupan Baharu Australia China’ telah didaftarkan pada 28 Oktober 2021.

    Namun akaun itu mempunyai siaran sejak 1 Februari 2019, termasuk siaran pertama Morrison, yang menyatakan: “Saya sangat gembira untuk membuka akaun WeChat rasmi saya”.

    AFP telah menghubungi syarikat induk WeChat, Tencent untuk mendapatkan komen.

    Morrison mula-mula melancarkan akaun WeChatnya untuk berkomunikasi dengan komuniti Cina-Australia yang besar di Australia menjelang pilihan raya 2019.

    Pada tahun itu, Morrison ditanya wartawan sama ada terdapat risiko akaunnya boleh ditapis oleh parti komunis China.

    “Kami tidak pernah mengalami penapisan seperti itu,” katanya.

    Pada Disember 2020, WeChat mengalihkan siaran daripada Morrison yang mempertahankan siasatan Australia terhadap dakwaan jenayah perang yang dilakukan oleh tentera Australia.

    Siaran itu juga mengkritik jurucakap kementerian luar China, Zhao Lijian, yang telah membuat kenyataan mengenai imej palsu seorang askar Australia memegang pisau. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    China kecewa AS guna veto halang Palestin anggotai PBB

    BEIJING, 19 APRIL - Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC) gagal meluluskan draf resolusi untuk menerima Palestin sebagai anggota rasmi Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB)...