Akhbar Australia ‘hitamkan’ berita muka depan

SYDNEY, 21 OKT – Akhbar di seluruh Australia menerbitkan muka depan yang digelapkan hari ini sebagai protes terhadap kerahsiaan kerajaan dan tindakan keras terhadap kebebasan media, langkah penyatuan jarang berlaku dalam persekitaran media negara itu.

Tajuk muka depan nasional dan serantau akhbar termasuk The Australian, The Sydney Morning Herald dan Australian Financial Review diterbitkan hari ini dengan majoriti berita muka depan dihitamkan.

Iklan turut dilancarkan di seluruh rangkaian televisyen negara, meminta penonton menimbang persoalan: “Apabila kerajaan menyembunyikan kebenaran daripada anda, apa yang mereka cuba tutup?”

Kempen oleh pakatan Right to Know dilancarkan susulan serbuan polis persekutuan ke atas agensi penyiar kebangsaan ABC dan rumah seorang wartawan News Corp tahun ini mengenai dua berita yang terbukti mengaibkan kerajaan.

Ia bertumpu kepada enam tuntutan, termasuk pengecualian kepada wartawan daripada tindakan undang-undang ketat keselamatan yang mencetuskan peruntukan rumit dikatakan pengkritik dengan mudah menjejaskan media daripada menjalankan tugas mereka.

“Budaya kerahsiaan yang diturunkan menerusi peruntukan undang-undang, mengehadkan hak setiap rakyat Australia untuk mengetahui dan melangkaui hasrat asal keselamatan negara.

“Serbuan polis ke atas rumah wartawan News Corp, Annika Smethurst dan ibu pejabat ABC di Sydney adalah serangan langsung ke atas kebebasan media di Australia namun ia hanyalah sekelumit kisah daripada masalah lebih besar,” kata Ketua Kesatuan Pakatan Hiburan Media dan Seni, Paul Murphy.

Tiga wartawan berdepan tuduhan jenayah susulan serbuan itu kerana mendedahkan jenayah perang oleh tentera khas negara itu di Afghanistan.

Kumpulan media juga menggesa perlindungan lanjut buat pembocor maklumat sektor awam, yang turut berdepan dakwaan kerana membocorkannya kepada media serta pemulihan kebebasan rejim maklumat dan pembaharuan undang-undang fitnah.

Undang-undang fitnah Australia adalah rumit dan antara paling tegas di dunia. Tidak seperti kebanyakan demokrasi liberal, Australia tidak memiliki rang undang-undang hak atau perlindungan dilindungi perlembagaan untuk kebebasan bersuara. – AFP

Akhbar-akhbar kelihatan digelapkan tulisan muka depannya di Sydney, 21 Okt. Akhbar utama Australia menerbitkan kandungan muka depan seumpamanya dalam satu kempen menyerlahkan kerahsiaan kerajaan yang sering diwajarkan atas alasan keselamatan kebangsaan. – AP