Akhiri pengasingan diri selepas 14 hari

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 SEPT – Sebagaimana yang telah diumumkan semasa sidang media Kementerian Kesihatan pada 2 September lalu, bermula esok (6 September), pesakit-pesakit COVID-19 yang telah disahkan sembuh selepas 14 hari daripada tarikh disahkan positif boleh dibenarkan pulang ke rumah dan tidak perlu lagi menjalani pengasingan diri di rumah.

Walau bagaimanapun, pesakit-pesakit COVID-19 yang disahkan sembuh dan dibenarkan pulang ke rumah sebelum tempoh kuarantin 14 hari tamat akan dikehendaki untuk menghabiskan tempoh kuarantin di rumah.

“Oleh yang demikian, mana-mana bekas pesakit yang sedang menjalani pengasingan diri di rumah selepas disahkan sembuh boleh menamatkan pengasingan diri mereka bermula esok iaitu jika mereka telah menamatkan tempoh kuarantin selama 14 hari,” jelas Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar dalam Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang diadakan di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Dalam pada itu, Yang Berhormat Dato turut mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan di atas segala sumbangan yang telah dihulurkan oleh semua pihak sama ada agensi-agensi kerajaan, kumpulan-kumpulan, persatuan mahupun orang-orang persendirian bagi meringankan bebanan pesakit-pesakit COVID-19 dan memudahkan tugas yang dilaksanakan
oleh petugas-petugas barisan hadapan.

“Kementerian Kesihatan sangat mengalu-alukan segala sumbangan abiskita yang diterima dalam berbagai bentuk. Sesiapa yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berhubung terus Pusat Operasi Kecemasan Kementerian Kesihatan (MOHEOC) di talian 7295712,” katanya.

Menurut beliau, pada lazimnya, sumbangan-sumbangan akan dihantar ke pusat sumbangan kecuali sumbangan dalam bentuk masakan yang dinasihatkan untuk disalurkan secara langsung ke lokasi-lokasi yang berkenaan.

Yang Berhormat Dato turut menyatakan bahawa pegawai daerah, penghulu dan ketua kampung banyak membantu dalam mengenal pasti mereka yang menjalani kuarantin dan tempat tinggal mereka terutama dalam menyalurkan bantuan makanan.

“Mereka ini banyak membantu pihak kementerian terutama Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan selain ketua kampung juga banyak menggalakkan penduduk kampung masing-masing untuk mendapatkan vaksin dan sebagainya,” tambahnya.