Akhiri tahun akademik dengan gaya

Oleh Daniel Lim

BELAIT, 21 NOV – Bagi meraikan pencapaian-pencapaian para pelajar dan guru-guru, Sekolah Rendah Paduka Seri Begawan Sultan Omar Ali Saifuddien (SR PSB SOAS), Kuala Belait telah mengadakan Majlis Penyampaian Hadiah Akhir Tahun yang berlangsung di Dewan Persidangan Kuala Belait, hari ini.

Majlis yang turut mengiktiraf pelbagai jabatan kerajaan dan agensi kerajaan yang menyumbang dan memberi sokongan terhadap kejayaan akademik sekolah berkenaan, telah dihadiri oleh Pengetua Sekolah Menengah Pengiran Jaya Negara Pengiran Haji Abu Bakar (SM PJN PHAB), Chin Ai Fong selaku tetamu kehormat majlis.

Turut hadir ialah Timbalan Pengetua SM PJN PHAB, Hajah Jumimah binti Haji Jumat, guru-guru dan kakitangan SR PSB SOAS, para jemputan dari pelbagai jabatan kerajaan dan agensi swasta serta ibu bapa dan penjaga pelajar yang diraikan.

Pengetua SR PSB SOAS, Hajah Nor Zurina binti Haji Assim dalam ucapan alu-aluannya menjelaskan bahawa majlis tahunan itu diadakan untuk mengetengahkan pencapaian-pencapaian para pelajar dari Tahun 1 hingga 5 serta untuk mengakhiri tahun akademik dengan gaya.

Beliau berkata, majlis menyaksikan seramai 108 orang pelajar dari Tahun 1 hingga 5 menerima pelbagai hadiah penghargaan yang bukan sahaja untuk mengetengahkan pencapaian akademik mereka sepanjang tahun akademik ini malah yang mencatatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan akhir tahun.

Majlis diikuti dengan penyampaian hadiah-hadiah kepada para pelajar, guru dan perwakilan jabatan kerajaan dan swasta yang disempurnakan oleh tetamu kehormat dan pengetua sekolah.

Majlis juga dimeriahkan dengan persembahan pelajar-pelajar sekolah berkenaan.

Para pelajar bergambar ramai bersama tetamu jemputan, guru dan ibu bapa pada majlis tersebut.