Akhlak mulia penghias diri

Oleh Pg Fairol RMF & Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Feb – Program Akademi Dakwah 2.0 yang dijalankan oleh Jawatankuasa Badan Sukarelawan Belia Daie Pusat Dakwah Islamiah (PDI) dengan kerjasama Program Keagamaan Belia (PKB) di bawah Kementerian Hal Ehwal Ugama, telah diteruskan lagi, kelmarin, bagi sesi kedua dengan membawa tema ‘Akhlak’.

Sesi kedua ini akan lebih menekankan tentang akhlak seseorang, terutamanya bagi pendakwah kerana ilmu tanpa akhlak adalah sia-sia, sampaikan ada seorang ulama bernama Syaikh Muhammad bin Halih Al’Utsaimin Rahimahullah berkata “seorang penuntut ilmu, jika tidak menghiasi diri dengan akhlak yang mulia, maka tidak ada faedah menuntut ilmunya”.

Pada program dua hari itu, para peserta akan bermalam di asrama PDI dengan hari pertama akan diisi dengan kuliah bertajuk ‘Daie yang Berakhlak Qurani’ yang disampaikan oleh Pensyarah Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dr Haji Ahmad @ Asri Lubis Haji Abusamah.

Manakala, pada hari kedua pula akan diisikan dengan kuliah bertajuk ‘Bagaimanakah Menjadi Pendengar Yang Baik?’ disampaikan oleh Penolong Pegawai Kaunselor Jabatan Penjara, Awang Fariszal bin Ali.

Gambar ramai pensyarah dan peserta Program Akademi Dakwah 2.0.