HULU TERENGGANU, 3 April 2008 – Gara-gara perbezaan fahaman politik, seorang bapa enggan menjadi wali untuk pernikahan anak perempuannya dengan seorang lelaki menyebabkan wanita berkenaan terpaksa dinikahkan menggunakan wali hakim di sini, petang ini.
Pengantin perempuan berusia 24 tahun dari Pengkalan Berangan, Marang, di negeri bahagian timur Malaysia, Terengganu itu terpaksa menggunakan wali hakim selepas bapanya yang merupakan penyokong parti pembangkang (Parti Islam SeMalaysia) tidak bersetuju dengan bakal menantu serta keluarga lelaki terbabit yang dikatakan penyokong parti memerintah Barisan Nasional (BN).
Berikutan itu, pengantin perempuan dan pasangannya berusia 36 tahun terpaksa membuat permohonan bagi membolehkan mereka bernikah menggunakan wali hakim.
Mereka memfailkan permohonan itu di Mahkamah Rendah Syariah Marang pada Februari lepas. Mahkamah kemudian memerintahkan bapa pengantin perempuan itu hadir ke mahkamah pada 27 Mac lepas, tetapi beliau tidak berbuat demikian.
Ketika dihubungi bapa perempuan itu berkeras tidak mahu menikahkan anaknya disebabkan perbezaan fahaman politik dengan bakal menantu dan keluarganya.
Hakim Abdul Malik Wan Sidek, kemudian membenarkan pasangan itu dinikahkan dengan mengikut Seksyen 16 Undang-undang Pentadbiran Keluarga lslam 1985.
Pasangan itu kemudian diijabkabulkan di surau setempat dengan mas kahwin RM28 oleh pegawai agama, Zahari Sulong.
Malaysia mengadakan pilihan raya umum pada 8 Mac lalu menyaksikan parti memerintah hilang lima daripada 13 negeri kepada pembangkang.