Saturday, April 20, 2024
24 C
Brunei

    -

    Akibat inflasi kebab jadi makanan mewah

    ANKARA – Kebab Turkiye, ikon masakan Timur Tengah, telah menjadi hidangan kegemaran tradisional dalam kalangan penduduk biasa di Turkiye.

    Tetapi inflasi pada tahun lalu menyebabkan ia tidak dapat dibeli oleh ramai orang di Turkiye.

    “Kami telah kehilangan kira-kira satu pertiga daripada pelanggan kami pada tahun lalu. Mereka tidak datang dan makan kebab seperti sebelum ini,” kata Sevket Belli, pemilik Ozlem Kebabhouse di daerah komersial ibu kota Turkiye Ankara, Kizilay kepada Xinhua.

    “Saya tidak boleh menyalahkan pelanggan kerana kami terpaksa menaikkan beberapa kali harga sejak beberapa bulan lepas berikutan kos yang melambung tinggi,” tambahnya.

    Kebab diperbuat daripada kepingan daging atau ikan dan sayur-sayuran yang dipanggang atau dibakar menggunakan rotisserie.

    Seorang cef memasak kebab untuk pelanggannya di sebuah restoran di Ankara. – Xinhua
    Seorang pelanggan menikmati kebabnya di salah sebuah restoran di Ankara, Turkiye. – Xinhua

    Ramai pelanggan semakin jarang berkunjung ke restoran kerana kenaikan harga kebab.

    “Tahun lalu saya pernah datang ke sini beberapa kali seminggu untuk makan tengah hari kerana ia terletak dekat dengan pejabat saya, tetapi sekarang ini sekali atau dua kali sebulan,” kata Teoman, pelanggan di Ozlem Kebabhouse yang enggan memberikan nama penuhnya.

    Keluarga di Turkiye sedang bergelut untuk bersaing dengan kenaikan harga semua barangan, terutamanya kenaikan tahunan 93 peratus dalam harga makanan, menurut indeks yang dikeluarkan oleh Institut Statistik Turkiye pada awal Oktober.

    Inflasi tahunan negara mencecah 83.4 peratus pada September, tertinggi sejak 1998, dalam keadaan mata wang yang lemah dan penurunan kuasa beli isi rumah.

    Belli menjelaskan bahawa harga daging meningkat dua kali ganda sejak tahun lalu dan begitu juga dengan bil elektrik dan gas, menyebabkan kos meningkat yang memaksanya menaikkan harga kebab.

    “Apabila awda tidak mempunyai wang tunai, kebab menjadi satu hidangan mewah,” katanya sambil menambah bahawa beberapa orang pekerja telah kembali kepada tabiat lama iaitu membawa makanan yang mereka sediakan sendiri ke tempat kerja, bukannya makan di restoran.

    Di restoran kebab lain di kawasan kejiranan, Kemal Yasa, pengurus, menyatakan bahawa pelanggan yang masih mengunjungi restorannya juga memesan lebih sedikit.

    “Mereka tidak memesan beberapa pinggan kebab yang berbeza, mereka biasanya memilih hidangan yang paling berpatutan dalam menu, seperti Lahmacun,” kata Yasa kepada Xinhua.

    Daging kambing cincang atau kiub, yang menggunakan lebih banyak daging, masih menjadi menu, tetapi kebanyakan pelanggan enggan memesannya kerana harganya lebih mahal, kata Yasa.

    Harga meningkat di seluruh dunia disebabkan beberapa faktor termasuk kekurangan bekalan yang dicetuskan oleh sekatan berkaitan COVID dan konflik Rusia-Ukraine.

    Pakar Turkiye memberikan ramalan suram untuk ekonomi dalam beberapa bulan akan datang. – Xinhua

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...