Wednesday, April 23, 2025
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Akibat selalu pulang lewat malam

    Oleh Zulkamal Haji Kamis

    SYAZA memang terkenal dalam kalangan keluarganya sebagai seorang yang selalu pulang lewat malam. Tidak kira sama ada hari biasa atau hujung minggu, dia pasti akan sentiasa pulang lewat. Perkara ini menyebabkan keluarganya tidak merasa senang dengan kelakuannya itu. Setiap kali pada waktu malam, Syaza akan berjalan dan lepak bersama kawan-kawannya di kelab-kelab malam atau di rumah kawannya.

    “Syaza, kau ani kan balik lambat saja, asal saja balik keraja, kan bejalan saja tah kau, bahapa saja kau kan, jangan diamalkan deyh perangai atu, daripada kau lepak atu baiktah kau di rumah teranah meliat tv kah atau tu usai bilikmu ah bejurit macam kapal pacah usulnya ah,” kata kakaknya, Lorena yang tidak tahan dengan perangai adiknya itu.

    “Eshhh kita ani kak ah, jangantah sibuk bah, basar jua ku sudah ni, jangantah ingau bah, bukannya ku membuat perkara inda betantu, waras ku lakat, tahu ku mana baik mana yang buruk, okey sis, jangantah sibuk,” jawab Syaza sambil berlalu pergi tanpa menghiraukan nasihat kakaknya itu.

    “Kan sudah ku beritahu kau Lorena, ia atu memang inda merati nasihat, biar ya deyh, esuk-esuk biar hantu atu ikut ia balik, baru ya tahu, apa rasanya, luan kan akhir balik saja, ngaleh sudah mulut ani kan menasihati ia Lorena, mun sudah indungnya inda ya mendangar, apa lagi kau Lorena,” kata ibunya, Fatimah kepada Lorena yang masih berdiri di depan pintu.

    “Eshhh ma, jangan cakap macam atu eh, banar karang ada hantu ikut ia, macam doa tu ma, baik tah bawa selawat, doakan saja ia mudah sadar ma, susah hatiku ma, ia atu bini-bini bah, mun laki-laki, manasaja tah walautah jangantah balik, ani ia bini-bini, memberi watir sekarang ani,” kata Lorena kepada ibunya.

    Puan Fatimah merupakan seorang ibu tunggal dan tinggal bersama dua orang anak perempuannya, Syaza dan juga Lorena. Lorena bekerja sebagai seorang pegawai bank di sebuah bank tempatan manakala Syaza pula bekerja di sebuah syarikat swasta yang terletak di Beribi. Puan Fatimah sudah sekian lama bersabar dengan kerenah anak bongsunya itu yang sudah berubah semenjak kehilangan ayahnya yang hilang entah ke mana. Semenjak itu, Syaza seperti sudah kehilangan arah dan sering merayau tiap-tiap malam bersama rakan-rakannya.

    Pada satu malam

    “Maa….buka pintu ani, maaaaa, buka pintu,” teriak Syaza di luar rumah. “Eh macam suara Syaza saja di pintu atu, kenapa ya, biasanya ada kunci rumah dibawanya, anak ani banar tah menyusahkan orang saja,” kata Lorena sebaik sahaja mendengar ketukan yang kuat di pintu. Jam ketika itu menunjukkan pukul 12:30 malam, pintu diketuk dengan kuat. “Eyhhh kak, batah jua membuka pintu ani, sakit suaraku memanggil,” kata Syaza marah. “Siapa suruh akhir balik nah, rasakan lah,” jawab Lorena. “Tetinggal kunci ku bah, mun inda, nada ku kan mengatuk kali ah,” balas Syaza lagi. “Bah masuk tah eh, daripada ku mendangar kau becakap, baik ku tarus tidur,” kata Lorena sambil melihat Syaza berjalan masuk terus menuju ke biliknya.

    Ketika sedang Lorena hendak menutup pintu, Lorena terasa seperti seram sejuk melihat di luar rumah di mana dia seperti terlihat satu lembaga sedang melihatnya dari jauh, malah ketika itu juga kedengaran bunyi tangisan suara anjing dari jauh. “Emm watt, apakan tu,” kata Lorena di dalam hati. “Lorena, apa lagi tu, tutup pintu atu, jangan dilambah batah-batah, masuk karang benda-benda inda baik,” sambuk ibunya, Fatimah tatkala melihat Lorena masih berdiri di depan pintu.

    “Ya Allah tekajut ku eh mama ani,” sahut Lorena yang terkejut dengan teguran ibunya itu. Lorena pun menutup pintu dan mendekati ibunya. “Bukan apa ma, tadi nampak ku macam ada jelama bah di belakang pokok di depan rumah ah, macam ada yang menyubuk bah ma, iatah ku perhatikan atu,” kata Lorena kepada ibunya. “Eshh mulut, bah sudah nada pa-pa tu, aga masuk tidur, basuh dulu kaki atu,” kata Puan Fatimah.

    Pada malam itu, Lorena tidak dapat melelapkan mata, dia asyik terdengar bunyi seakan-akan satu cakaran di tingkap biliknya. Sudah puas dia cuba untuk melelapkan matanya dan tidak menghiraukan bunyi itu, namun dia masih tidak dapat untuk tidur. Dahinya berpeluh dan bunyi itu masih lagi kedengaran. “Astaga, apakan tu, bunyi apakan tu,” tanya Lorena seorang diri. Tiba-tiba dalam kegelapan malam itu, Lorena seakan-akan nampak seperti satu lembaga perempuan sedang berdiri di luar tingkap biliknya. Bayang-bayang itu nampak jelas membuatkan Lorena terkejut dan terjatuh dari katilnya dan berlari ke bilik ibunya.

    “Maaaaaaaaaaa buka pintu maaaa,” teriak Lorena kepada ibunya. “Ya Allah, kenapa kau Lorena eh,” tanya ibunya tatkala melihat Lorena yang ketakutan. “Maaa, ada macam hantu di luar bilik ku atu ma, Ya Allah nampak ku bayang-bayangnya ma,” jawab Lorena. Puan Fatimah dan Lorena bergerak perlahan menuju ke bilik Lorena dan membuka lampu dan tidak ada apa-apa di luar tingkap. Pada malam itu, Lorena tidur di bilik ibunya kerana takut.

    Terus diganggu

    “Syaza baik tah kau beranti berjalan, kali ani bejalan tah kau ah, tekana kau ni, rumah ani berisi hantu tia pulang, kau selalu kan akhir balik saja, nah kami yang menerima akibatnya,” kata Lorena dengan tegas. “Ahhh sudahlah kak, inda ku percaya semua atu, kita andang sengaja kan menakut-nakutkan aku tu, jangantah deh, inda ku takut, jangan tah sibuk bah, suka hati ku bah kan bejalan,” balas Syaza kepada kakaknya, Lorena.

    Lorena terpaksa akur dan hanya menyaksikan adiknya itu berjalan lagi keluar rumah. “Ma, macam mana ni Syaza ani, sakit hati ku eh ia ani, inda merati,” kata Lorena kepada ibunya. Puan Fatimah hanya berdiam diri dan duduk memandang tv. “Biarkan tia Lorena, biar ya merasa sendiri,” jawab Puan Fatimah kepada Lorena.

    Jam ketika itu menunjukkan pukul 2 pagi, Syaza berjalan perlahan-lahan menuju ke pintu rumahnya dan tiba-tiba Syaza terdengar seperti ada suara wanita sedang menangis. “Waaattt daaa, apa tu, macam ada suara orang menangis,” kata Syaza sambil mengambil kunci pintu rumah dengan cepat dan sekelip mata badannya bergetar. Selepas sahaja masuk ke dalam rumah, Syaza belum lagi menyalakan lampu malah cuba menyingkap jendela rumah untuk memeriksa dari mana datangnya suara tangisan itu.

    Namun tatkala dia sedang memeriksa jendela itu, dia terasa seperti ada sesuatu sedang memandang dirinya dari dalam ruang tamu, Syaza cuba melihat dan ternampak seperti ada seorang wanita sedang duduk di kerusi sofa di ruang tamu. “Kak, kita kah tu, bahapa kita kan tu, alum kita tidur kah, bahapa kita begalap-galap atu,” kata Syaza. Namun sebaik sahaja dia menyalakan kembali lampu ruang tamu, bayang-bayang wanita yang baharu sahaja dilihatnya itu telah hilang.

    “Eyhhh, mana tia, laju jua larinya kaka ani, sengajanya ni kali,” kata Syaza seorang diri. Akibat tidak berpuas hati, Syaza menuju ke bilik kakaknya di mana ketika itu, pintu bilik kakaknya sengaja dibuka sedikit. Syaza cuba melihat ke dalam dan terlihat kakaknya sedang tidur lena. “Eh tidur jua ya tu, siapa tadi atu ah,” tanya Syaza lagi. Namun tiba-tiba suara tangisan itu menjelma lagi, Syaza semakin takut dan terasa badannya semakin bergetar serta dirinya seakan sukar untuk bergerak.

    Syaza cuba untuk mengerakkan badannya dan dia cuba memandang kembali ke ruang tamu, kali ini dia terlihat lagi bayangan wanita itu sedang duduk di lantai ruang tamu sambil melihat dirinya. Syaza semakin takut dan “Astaga, Ya Allaaaahhhhhh, kak!!!!!!!!” teriak Syaza sambil berlari dan melompat ke katil kakaknya.

    “Eyhhhh mana tia kaka ani, kak!!!!!! Kakkkk!!!!!!!” teriak Syaza di atas katil kakaknya. Syaza sangat takut dan tiba-tiba badannya seperti disentuh sesuatu yang sejuk lantas dia menoleh dan melihat satu lembaga perempuan dengan rambutnya yang panjang sedang berdiri di belakangnya. Syaza seperti kehilangan nyawa terus berlari menuju ke bilik ibunya sambil berteriak.

    “Ya Allah, Syaza kenapa kau, eh kenapa kau,” tanya ibunya sambil memeluk anaknya yang menangis teresak-esak di bilik ibunya. “Maaaa, ada hantu ma, ada hantu,” jawab Syaza kepada ibunya. Ketika itu Lorena berdiri di samping ibunya. “Kan ma, sudah ku bagitau kita, ada hantu di rumah kitani ani ma,” kata Lorena kepada ibunya.

    Puan Fatimah memang dari awal lagi sudah mengetahui rumah mereka seperti dihadiri oleh sesuatu sejak kebelakangan ini.

    “Iatah kau nah, sudah dinasihati, jangan akhir balik saja, nah ani apa sudahnya, kau jua yang menerima kesannya kan, balik-balik sudah kami menasihati kau, inda jua kau peduli kan nasihat kami atu,” kata Lorena kepada adiknya yang sedang duduk di ruang tamu. “Kau tau kah Syaza, sejak kau akhir balik saja ani, bukan kau saja yang kana ganggu, aku sama mama turut kana ganggu, kau mana kau tahu, kan setiap malam kami kana ganggu, iatah ku tidur di bilik mama saja selalu,” kata Lorena lagi kepada Syaza.

    “Awu bah kak, sudah tia bah, awu bah salah ku, janji ku ni lapas ane inda lagi akhir balik saja,” balas Syaza kepada Lorena. “Bah sudah tia Lorena, insaf sudah adikmu atu, jangan tah diungkit-ungkit tu,” kata Puan Fatimah. “Sudah ya keluar tu, bersih sudah ni rumah kitani ani, ustaz atu sudah menolong kitani, bah sudah tia, kitani bersih-bersihkan saja rumah kitani ani, banyakkan mengaji dan sembahyang,” kata Puan Fatimah lagi.

    Beberapa jam sebelum

    “Rumah kita ani, kana masuki ni kajah,” kata Ustaz Syazim kepada Puan Fatimah. “Bah tolongtah kami ustaz, inda lagi terasa aman di rumah ani ustaz, kana ganggu saja,” kata Puan Fatimah kepada Ustaz Syazim.

    “Bah InsyaAllah, kitani minta tolong kepada Allah SWT, ia yang maha berkuasa, berdoa saja kepadanya,” jawab Ustaz Syazim. “Bukan jua, ada kah dalam kalangan anak-anak kita ani akhir balik saja,” tanya Ustaz Syazim kepada Puan Fatimah.

    Puan Fatimah terkejut dan memandang kedua-dua orang anaknya. “Kenapa ustaz cakap macam atu,” tanya Puan Fatimah. “Bukan apa, yang kan ku uruskan ani ada becakap, nya ia mengganggu rumah ani pasal ada yang selalu akhir balik sama ia jua selalu kana seru-seru untuk mengganggu,” kata Ustaz Syazim. “Awu ada pulang ustaz, ni anak ku bongsu ah, selalu akhir balik saja,” jawab Puan Fatimah.

    Puan Fatimah juga turut mengakui bahawa dia sering mengungkapkan perkataan ‘biar ia diaga hantu’ akibat tindakan anaknya yang selalu lewat pulang lantas menyebabkan gangguan terhadap keluarga mereka.

    “Bah, kitani berdoa saja kepada Allah SWT, memohon perlindungannya, sembahyang dan banyakkan mengaji serta membaca Al-Quran, insyaAllah, benda atu inda akan mengganggu lagi,” balas Ustaz Syazim.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda