Akibat serangan virus, Emma terlantar di hospital

KUALA LUMPUR – Pelakon Emma Maembong tidak menyangka sakit perut yang dialaminya adalah serius hingga membuatkan beliau terlantar di hospital sejak Jumaat lalu.

Pengurusnya Nana Rosham berkata, awalnya pelakon itu enggan mendapatkan rawatan kerana menganggap ia sakit biasa tetapi apabila keadaan semakin teruk, beliau terus dikejarkan ke hospital.

Katanya, doktor menyarankan Emma mendapatkan rehat yang cukup bagi memastikan jangkitan virus yang mengakibatkan kesihatannya terganggu dapat dipulihkan.

“Buat masa ini, Emma masih tidur selepas diberikan ubat. Doktor memang memintanya supaya tidak diganggu. Sekarang kesakitannya sudah berkurangan, cuma tidak boleh ada pelawat. Kalau tengok keadaannya, memang membimbangkan walaupun sebenarnya Emma tidak mahu dimasukkan ke hospital kerana komitmen kerja. Namun, dalam keadaan begini kesihatannya perlu menjadi keutamaan dan kami berterima kasih kerana pihak berkaitan pun memahami situasi ini,” katanya. Nana berkata, bagi pihak Emma, beliau memohon maaf di atas kesulitan yang terpaksa dihadapi individu atau syarikat yang berurusan dengan mereka sepanjang minggu ini.

“Kami minta maaf kerana menyebabkan komitmen kerja tergendala. Saya sendiri tidak dimaklumkan berapa lama Emma akan ditahan di hospital. Sebarang perkembangan akan kami maklumkan kepada mereka yang berkaitan. Sama-sama doakan Emma cepat sembuh dan kembali bertugas,” kata Nana.

Emma Maembong terlantar di hospital akibat sakit perut.
Emma Maembong terlantar di hospital akibat sakit perut.