Tuesday, March 25, 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Akibat tindakan yang terkutuk

    HANI dan Azman adalah sepasang suami isteri yang mendirikan rumahtangga kira-kira tiga tahun yang lalu. Mereka hidup aman dan bahagia. Namun sepanjang tiga tahun melayari kehidupan berumahtangga bersama-sama mereka belum lagi dikurniakan cahayamata.

    Di hati mereka sebenarnya merasa rindu untuk mendengar suara tangisan anak-anak di rumah apatah lagi setelah penat pulang dari bertugas.

    Dengan adanya suara rengekan anak kecil mungkin segala keletihan sepanjang hari bertugas di pejabat akan hilang. Bak kata orang anak adalah penyeri sebuah kehidupan berumahtangga.

    Sudah puas mereka berubat ke sana ke mari, dari klinik swasta hinggalah hospital pakar dari dalam mahupun luar negara. Jenuh berubat secara moden mereka mencuba pula perubatan tradisional. Dari bandar hinggalah ke pelusuk kampung tetap mereka jelajahi.

    Di mana saja mereka mendengar seseorang boleh mengubati suami isteri yang tidak boleh beranak, mereka pasti akan pergi menemuinya walau sejauh mana sekalipun.

    Berurut, bertangas hinggalah mencuba pelbagai ubat-ubatan tradisional yang terdiri dari akar-akar kayu namun semuanya hampa, tetap tidak mendatangkan sebarang hasil. Mereka tetap seperti dahulu hidup berdua suami isteri sahaja.

    Setelah puas ke sana ke mari mencari ubat dan berbagai usaha mereka lakukan tetap tidak mujarab, mereka memutuskan untuk bersabar dan menunggu sahaja. Mungkin belum rezeki mereka. Namun di sebalik semua itu adalah angkara perbuatan durjana mereka buat semasa muda-muda dahulu.

    Diganggu

    Sewaktu Azman dan Hani cuba melelapkan mata mereka terasa seperti ada tangan kecil yang sejuk dan kaku menggengam jemari mereka. Ini membuatkan mereka berasa tidak betah tinggal di rumah.

    Hani dan Azman sentiasa sahaja lemah hendak pergi bekerja memandangkan mereka sudah beberapa malam tidak dapat tidur dengan nyenyak.

    Akhirnya setelah tidak bertahan dengan gangguan tersebut, mereka pergi ke sebuah kampung dan berjumpa dengan seorang imam yang telah diketahui kepandaian oleh keahliannya dalam bidang agama.

    “Begini Pak Imam, kedatangan kami ini sebenarnya membawa suatu hajat besar. Sepanjang perkahwinan kami selama tiga tahun lalu, baru kini dalam sebulan dua ini hidup kami tidak merasa tenteram. Kami asyik diganggu oleh suara tangisan budak kecil di seluruh pelusuk rumah.

    “Bukan cuma satu tangisan tapi tiga tangisan budak sekali gus. Kadang-kadang, gangguan budak-budak itu seperti cuba untuk mencederakan kami Pak Imam. Tolonglah kami Pak Imam. Tak sanggup rasanya kami tinggal di rumah tersebut lama-lama. Bantulah kami berdua Pak Imam, dengan cara apa sekali pun,” kata Azman dengan suara yang sayu.

    “Saya faham perasan awak. Sebelum awak datang ke rumah ini pun saya dah merasa getarannya. Seminggu lamanya rumah awak ini diganggu dengan suara tanggisan budak kecil. Dan sewaktu awak sampai tadi saya melihat tiga orang budak kecil duduk bertenggek di hadapan enjin kereta awak.”

    Mendengar penjelasan Pak Imam itu membuatkan Hani dan Azman ketakutan. Badan mereka terasa seram sejuk.

    Mereka memandang sekeliling seperti mencari sesuatu.

    “Jangan takut, berserahlah kepada Allah SWT Kalau awak sedar dan insaf sejak dahulu lagi semua ini tidak akan berlaku. Tahukah awak berdua ini semua terjadi angkara perbuatan durjana awak berdua sebelum berumahtangga dahulu? Tak payah awak ceritakan kisah silam dahulu, saya mengerti. Memang hidup ini banyak dugaannya.

    “Tidak ada sesiapa yang mampu mengawalnya kecuali diri kita sendiri. Di antara seorang teruna dan seorang dara yang sedang mahsyuk berkasihan, di tengahnya adalah iblis. Kalau kita tidak berusaha untuk menjaga diri dan kehormatan masing-masing, begitulah jadinya. Darah muda memang manis. Apa yang diharamkan oleh Allah SWT itulah yang terasa lazat bagi mereka,” tutur Pak Imam dengan lembut.

    “Begini sajalah membuka pekung di dada sendiri memang tidak digalakkan oleh agama. Saya harap awak berdua bertaubat nasuhalah. Insafilah segala kesalahan yang telah awak berdua lakukan.

    “Sembahyang dan membaca Al-Quran serta membuat amalan baik adalah ubat bagi segala bencana. Jangan ketepikan Allah SWT walau di mana juga kalian berada.

    “Dan perbanyakkanlah bersedekah dan membaca doa selamat semoga kalian selamat di dunia dan akhirat. Sekarang pulanglah dan bertakwalah kepada Allah dan jangan lupa mengerjakan segala suruhanNya dan meninggalkan segala larangNya,” kata Pak Imam lagi sambil mengakhiri perbualan mereka.

    Semenjak bertemu dan mendengar nasihat Pak Imam tersebut barulah kehidupan mereka tenang. Setiap hari mereka bersembahyang dan membaca Al-Quran bersama-sama.

    Mereka tidak lupa bertahlil dan membaca doa selamat setiap malam Jumaat.

    Sejak perubahan yang mereka lakukan itu tiada lagi kedengaran suara tangisan budak-budak kecil yang mana merupakan tangisan dari anak mereka yang telah digugurkan dahulu.

    Lima tahun dahulu, Hani dan Azman berada di luar negara bagi melanjutkan pelajaran mereka di peringkat yang tertinggi. Mereka adalah sepasang kekasih yang setia.

    Mereka bercinta semenjak menduduki sekolah menengah lagi hinggalah ke luar negara. Semasa mereka melanjutkan pelajaran itu, mereka telah mengikat tali pertunangan dengan restu kedua-dua belah keluarga. Mereka berhasrat untuk hidup berumahtangga setelah selesai belajar.

    Jauh dari orang tua dan terikut-ikut dengan budaya asing menyebabkan mereka tidak lagi ingat yang mana halal dan haram.

    Di luar negara mereka tinggal serumah dan kehidupan mereka tidak ubah seperti sepasang suami isteri. Di situ tiada siapa yang mempertikaikan kehidupan mereka kerana bagi orang-orang di situ ia adalah lumrah dan sudah menjadi kebiasaan masyarakat di negara barat itu.

    Sepanjang dua tahun hidup di negara orang dan hidup sebagai suami isteri yang tidak sah, Hani sudah tiga kali didapati mengandung anak luar nikah. Kerana takutkan kemarahan keluarga, Hani dan Azman menggugurkan kandungan tersebut di sebuah klinik swasta tanpa pengetahuan sesiapa.

    Sekali berbuat pasti akan terjadi lagi. Begitu jugalah dengan Hani dan Azman perbuatan tersebut tidak pernah meninggalkan kesan atau keinsafan di hati mereka.

    Kalau sudah syaitan bermaharajalela dalam kehidupan mereka, segala yang haram menjadi halal. Mereka tidak pernah serik untuk melakukannya lagi. Akhirnya Hani mengandung lagi dan seperti yang pertama sebelum kandungan mencapai usia tiga bulan mereka menggugurkan sekali lagi.

    Walau sudah merasa kesakitannya semasa pengguguran dilakukan pertama kali tapi Hani tidak takut untuk membuatnya sekali lagi. Dan dalam tempoh dua tahun sudah tiga kali mereka menggugurkan kandungan Hani dengan rela. Sekembalinya mereka ke tanah air dan setelah masing-masing mendapat pekerjaan yang sesuai dengan kelulusan, mereka pun berkahwin.

    Mereka seperti lupa segala perbuatan sumbang mereka dahulu dan mereka tidak pernah mahu untuk bertaubat. Ternyata kuasa Allah melebihi segalanya. Setelah tiga tahun mendirikan rumahtangga mereka tidak dikurniakan walau seorang anak pun.

    Mereka tidak sedar semua itu berlaku kerana perbuatan mereka semasa bujang dahulu. Mereka menyangka tidak beroleh anak sepanjang perkahwinan mereka adalah kerana belum ada rezeki lagi. Sehinggalah mereka mengalami mimpi dan kejadian yang telah menginsafkan mereka.

    Setelah kejadian itu Hani dan Azman merasa insaf dan melakukan taubat nasuha kepada Allah S.W.T mereka memohon keampunan dari Yang Maha Kuasa.

    Mereka berjanji di dalam hati masing-masing untuk tidak mengulangi lagi perbuatan mereka yang nista itu. Baru kini mereka menyesali betapa perbuatan mereka dahulu merugikan diri sendiri. Ini semua adalah balasan Allah SWT untuk menyedarkan mereka daripada kejahilan.

    Kini Azman dan Hani hidup bahagia walaupun setelah sepuluh tahun mendirikan rumahtangga mereka tidak dikurniakan seorang pun cahayamata.

    Untuk tidak merasakan kesepian dan kebosan terhadap pasangan masing-masing, mereka memelihara seorang anak angkat perempuan yang diberi nama Nur Syuhadah.

    Anak kecil tersebut adalah cucu kepada Pak Imam yang mereka jumpai untuk meminta nasihat dahulu.

    Pak Imam merasa kasihan melihat hidup mereka yang sunyi dari tangisan anak kecil lalu dia memberikan seorang cucunya kepada pasangan tersebut untuk dipelihara.

    Kisah ini menjadi pedoman dan pengajaran kepada kita semua bahawa perbuatan zina itu adalah haram dan berdosa besar di sisi ajaran agama Islam.

    Apatah lagi sehingga menumbuhkan benih di dalam rahim kemudian menggugurkannya tanpa belas kasihan dan juga penyesalan. Mungkin ketika muda tidak terbit rasa penyesalan tetapi pada hari tua kelak pasti memakan diri sendiri.

    Dan balasan daripada Allah SWT tetap berlaku walau di mana sekalipun kita berada. Tidak kira semasa muda mahupun pada hari tua.

    Kasihilah anak kita kerana ia adalah kurnia dari Allah SWT walaupun ia zuriat lahir tanpa diminta. Dari itu sebagai umat Islam jauhkanlah diri daripada zina dan pengguguran haram. Insya Allah kita akan selamat di dunia mahupun di akhirat.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda