Akmal Hakim pemilik baharu jersi kebangsaan

KUALA LUMPUR, 20 SEPT – Pelumba Sapura Cycling Team (TSC) Akmal Hakim Zakaria muncul pemilik baharu jersi kebangsaan apabila muncul juara acara lepas beramai-ramai elit lelaki pada Kejohanan Lebuh Raya Kebangsaan 2020 di Bukit Katil, Melaka hari ini.

  Pelumba berusia 23 tahun itu menamatkan perlumbaan sejauh 182 kilometer dengan catatan masa 4 jam 36 minit 3 saat, untuk merampas jersi kebangsaan milik pelumba Terengganu Inc TSG Cycling Team (TSG) Nur Amirull Fakhruddin Mazuki yang terpaksa berpuas hati di tempat kedua dengan catatan masa sama.

Seorang lagi pelumba TSG Muhammad Afiq Huznie Othman menduduki tempat ketiga dengan catatan masa 4’36:11s.

Kejayaan Akmal Hakim hari ini bermakna TSC menyapu bersih tiga daripada empat gelaran utama iaitu juara kebangsaan lepas beramai-ramai elit lelaki, ujian masa berpasukan (TTT) dan ujian masa individu (ITT).   Sementara itu, Presiden PKBM Datuk Abu Samah Abd Wahab berkata beliau mampu menarik nafas lega kerana badan induk kebangsaan itu berjaya menganjurkan kejohanan berkenaan tanpa masalah besar. – Bernama