Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Feb – Isu-isu strategik dan inisiatif yang dilaksanakan oleh Kementerian Perhubungan amat penting kerana semua pembaharuan serta penambahbaikan itu membawa kepada perubahan positif landskap perhubungan negara.
Di samping itu, ia juga melahirkan masyarakat yang berpengalaman, berkemahiran tinggi, berpendidikan, mempunyai kualiti hidup yang tinggi serta ekonomi yang mapan selaras dengan hasrat Wawasan 2035.
Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Haji Ramli bin Haji Lahit yang mewakili ahli-ahli MMN berkata demikian semasa Sesi Muzakarah Kementerian Perhubungan bersama ahli-ahli MMN di Bilik Mesyuarat Al-Mahabbah, Kementerian Perhubungan, hari ini.
Hadir pada sesi muzakarah berkenaan ialah Menteri Perhubungan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Mustappa bin Haji Sirat. Turut hadir ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Perhubungan, Haji Azhar bin Haji Ahmad dan ketua-ketua jabatan serta bahagian di bawah Kementerian Perhubungan.
Yang Berhormat Haji Ramli dalam ucapan balasnya berkata, sesi muzakarah berkenaan bertujuan untuk berkongsi maklumat khususnya mengenai perancangan strategik dan inisiatif yang dilaksanakan di Kementerian Perhubungan.
“Pada sesi muzakarah ini pula, kami telah memohon kepada setiap kementerian supaya perbincangan akan difokuskan kepada isu-isu strategik yang difikirkan perlu untuk dikongsi dengan kami.”
Beliau menambah bahawa isu-isu strategik kementerian yang dikongsi berkait rapat serta mempunyai kepentingan dalam usaha meningkatkan pencapaian dan menjurus kepada pembangunan negara dalam mencapai Wawasan 2035.
Isu-isu itu, ulasnya lagi, termasuk perhubungan darat, udara dan infrastruktur info komunikasi yang terkini dan betul supaya masyarakat lebih saling berhubung, menjadikan kerja lebih mudah dan efisien serta mampu membawa perubahan kepada landskap perhubungan kebangsaan selaras dengan perubahan yang dibawa oleh arus globalisasi.
“Kami menyambut baik kerjasama strategik utama yang membawa kepada perkembangan persekitaran harmoni perhubungan ASEAN dan seterusnya untuk mencapai ruang terbuka bagi perhubungan yang boleh memperkenalkan dan meningkatkan nama Negara Brunei Darussalam di mata dunia.”
Perkara itu, tekannya lagi, adalah tidak mustahil jika inisiatif-inisiatif induk dalam pelan strategik Kementerian Perhubungan dapat dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab seperti penyediaan infrastruktur perhubungan dan pengangkutan seperti jalan raya, pelabuhan dan penerbangan awam dipertingkatkan.
Pada masa yang sama, inisiatif yang dilaksanakan oleh Kementerian Perhubungan termasuk pemodenan terminal serta pelebaran landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei dan peningkatan kapasiti Pelabuhan Muara, ulas beliau, merupakan sesuatu yang membanggakan dan penting dalam mendukung kegiatan pelancongan dan pemunggahan serta mampu meningkatkan keyakinan para pelabur asing.
“Dan yang sangat menarik sekarang ini ialah inisiatif memperkenalkan portal e-Darussalam untuk mengintegrasikan semua perkhidmatan e-Kerajaan supaya semua pihak dapat mengakses maklumat secara cepat dan tepat.”
Terdahulu, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Mustappa dalam ucapannya mengalu-alukan ahli-ahli MMN serta percaya sesi muzakarah berkenaan akan membolehkan kedua-dua pihak bertukar-tukar pandangan dan maju ke depan.
Ia juga membolehkan Kementerian Perhubungan untuk berkongsi perkembangan dasar-dasar yang sedang dilaksanakan serta yang bakal diperkenalkan dalam sektor pengangkutan dan ICT.
Sesi muzakarah itu diteruskan dengan taklimat mengenai Pelan Pelaksanaan Kementerian Perhubungan bagi 2017 yang disampaikan oleh Haji Azhar yang menggariskan inisiatif-inisiatif utama dalam pengangkutan awam, keselamatan jalan raya dan liputan telefon bimbit bagi kawasan-kawasan yang diwakili oleh ahli-ahli MMN.
Sesi muzakarah berkenaan merupakan platform bagi membincangkan pelbagai pandangan dan cadangan mengenai kaedah untuk memperbaiki lagi standard kualiti perkhidmatan dan keberkesanan operasi serta memberikan peluang kepada kedua-dua pihak untuk berkongsi dan bertukar-tukar maklumat berhubung isu-isu berkaitan.