Akses pembelajaran pelajar dalam talian jadi keutamaan

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 APRIL – Pelbagai usaha dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan pada masa ini dengan melibatkan pihak berkepentingan seperti UNN dan tiga syarikat telekomunikasi di negara ini serta Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi Brunei Darussalam (AITI) mengenai pembelajaran dalam talian.

Demi meringankan beban yang dihadapi oleh ibu bapa dan pelajar serta guru-guru ketika ini, beberapa inisiatif untuk membantu mereka akan diusahakan oleh pihak kementerian.

Perkara berkenaan dikongsikan oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman pada Sidang Media bagi Status Terkini Jangkitan COVID-19 yang berlangsung di Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini. Yang Berhormat Dato seterusnya menjelaskan, apa yang menarik, banyak kerjasama diberikan oleh pelbagai pihak dalam memastikan pelajar dapat meneruskan pembelajaran mereka serta membolehkan guru-guru untuk memberikan pengajaran kepada pelajar.

Beliau turut mengambil maklum mengenai beberapa isu sampingan seperti isu untuk mengakses Internet dan berusaha mengenal pasti penyelesaian untuk mengatasinya dan berharap kerjasama padu daripada semua pihak.

Yang Berhormat Dato seterusnya menjelaskan mengenai pelajar berkeperluan khas di mana Kementerian Pendidikan dengan kerjasama unit pendidikan telah menyediakan Home Learning Package untuk pelajar Khas.

Yang Berhormat Menteri Pendidikan ketika menjelaskan beberapa inisiatif untuk membantu kesemua pelajar mendapatkan akses pembelajaran dalam talian. – Gambar oleh Syahmi Hassan

Menurutnya, ibu bapa diberikan garis panduan pembelajaran mengenai kurikulum selain guru-guru berkeperluan khas juga menghubungi ibu bapa mengenai pembelajaran yang perlu diberikan.

Di samping itu, Unit Pendidikan Khas juga ada menyediakan beberapa teknologi yang dapat digunakan bagi menolong pelajar berkeperluan khas.

Kementerian Pendidikan pada masa ini mengeluarkan panduan mengenai pembelajaran dalam talian iaitu cara untuk membantu anak-anak mereka dalam pelbagai peringkat.

Yang Berhormat Dato seterusnya menjelaskan mengenai kaji selidik di mana pihak kementerian masih mengumpul data dan kaji selidik berkenaan dilaksanakan secara berterusan, dengan pelbagai inisiatif yang dikenal pasti dalam menangani cabaran berkenaan dan ia akan dikongsikan oleh Kementerian Pendidikan setelah ia dinilai.

Beliau seterusnya menjelaskan, memang masih ada pelajar yang berada di luar negara dan kebanyakannya adalah penuntut tahun akhir dan perkara yang dihadapi pada masa ini memang diambil kira bukan saja untuk pelajar tahun akhir tetapi juga pada tahun yang lain juga.

Pada situasi pada masa ini, jelas Yang Berhormat Dato, Bahagian Biasiswa Kementerian Pendidikan membuat kaji selidik dan untuk pengetahuan awal, kebanyakan pelajar yang balik pada masa ini, universiti mereka juga mengadakan pembelajaran dan peperiksaan secara dalam talian atau menggunakan penilaian berterusan yang boleh dibuat secara dalam talian yang setakat ini belum ada sebarang masalah.