Aksesori kasut raya

Selain baju Melayu, semestinya kasut baharu merupakan satu lagi aksesori ‘wajib’ yang dibeli golongan wanita untuk melengkapkan gaya pada Hari Raya.

Lebih-lebih lagi jika terdapat potongan harga menarik sempena musim perayaan, ramai yang enggan terlepas peluang untuk mendapatkan kasut pilihan masing-masing.

Jenis-jenis kasut:

Peep Toes

Tumitnya tampil dalam pelbagai ketinggian dan ia terkenal sebagai kasut yang memberikan penampilan seksi. Lebih tinggi tumitnya, lebih ranggi lagi penampilannya. Rekaannya terbuka dibahagian depan dan sebab itulah ia digelar peep toes.

Mules

Sesuai digayakan untuk ke pelbagai majlis seperti perayaan, acara formal dan juga ke pejabat. Tapaknya rata dan bertumit. Bahagian depan kasut pula tertutup sementara bahagian belakangnya terbuka. Ringkas dan tak sukar untuk memakainya, hanya perlu masukkan kaki ke dalam kasut tanpa menggunakan pengancing dan ia juga tidak mempunyai tali.

Stilettos

Inilah ‘ratu’ kasut tinggi! Ukuran tumitnya anggaran 4-6 inci dan bahagian depan kasut tertutup.

Tampil dalam pelbagai warna, rekaan dan corak. Adakalanya potongan kasut ini kelihatan seperti tidak selesa digayakan kerana tumitnya yang terlalu halus dan tinggi. Tetapi, jika anda yakin berjalan dengannya, ia pasti akan serlahkan gaya anda.

Kitten Heels

Kasut jenis ini mempunyai tumit yang rendah dan ideal bagi yang gemarkan gaya sederhana. Ukuran tumitnya tidak terlalu tinggi dan sesuai dipadankan dengan semua jenis pakaian. Anggaran ketinggian tumitnya tidak melebihi 3.5cm dan ia tidak memenatkan kaki jika banyak berjalan.

Wedges (kasut baji)

Bagi yang kurang yakin untuk bergaya dengan kasut platform atau stilettos, kasut baji mungkin menjadi pilihan anda. Ia akan menyerlahkan ketinggian anda dalam keadaan yang ‘selamat’.

Kasut jenis ini mempunyai tapak yang tebal tetapi rata. Lantas, ia membuat anda berjalan lebih stabil dan yakin jika dibandingkan dengan stiletto yang bertumit halus.

Kesimpulannya, pastinya pembelian kasut kini lebih mudah dengan adanya pelbagai wadah iaitu selain di kedai dan bazar, ada juga wadah online yang beroperasi 24 jam. Semoga anda tidak salah beli. – Agensi