Aksi Celtics tanpa Walker

NEW YORK, 2 DIS – Pemain pertahanan Boston Celtics Kemba Walker akan terlepas permulaan musim NBA 2020-21 selepas menerima suntikan sel tunjang dalam lutut kirinya, umum pasukan semalam.

Walker ialah pemain All-Star pada musim lalu apabila dia mengumpul secara purata 21.2 mata, 4.9 assist dan 4.1 rebound satu perlawanan untuk pasukan Celtics. Pemain berusia 30 tahun itu tidak akan beraksi sehingga awal Januari untuk memberikannya masa untuk memperkuat lututnya.

Kempen akan datang bermula pada 22 Disember dengan perlawanan pra musim bermula pada minggu depan.

Walker berunding dengan beberapa pakar pada awal Oktober dan ditempatkan dalam program 12 minggu untuk merangsang kekuatan kakinya.

Sementara dia dijangka memulakan kerja di gelanggang pada awal Disember, statusnya untuk perlawanan tidak akan diputuskan sehinga minggu pertama Januari paling awal, menurut pasukannya.

Pasukan Celtics juga berkata pemain pertahanan tahun kedua Romeo Langford, yang menjalani pembedahan pada September kini meneruskan pemulihan. – AFP

Kemba Walker melantun bola semasa Pusingan Kedua Eastern Conference dalam Playoff NBA 2020 di Lake Buena Vista, Florida. – AFP