LOS ANGELES – Tanpa kehadiran sebarang filem adiwira terbaru atau pun sekuel setentunya memberikan laluan mudah kepada dua filem baru untuk menyinar sekali gus menduduki tiga tangga teratas.
Hitman’s Bodyguard, sebuah filem aksi komedi keluaran Lionsgate dengan mudah menjuarai carta dengan jumlah kutipan sebanyak AS$21.6 juta setelah ditayangkan di 3,377 pawagam.
Walaupun jumlah tersebut kelihatan agak terhad namun ternyata ia sudah berjaya untuk meletakkan filem aksi komedi itu pada tangga juara
Dipercayai dengan sistem pemasaran yang betul iaitu dengan menampilkan Samuel L. Jackson, Salma Hayek dan Ryan Reynolds berjaya menarik perhatian penonton untuk menyaksikan sendiri filem yang ditulis oleh Tom O’Connor dan diarahkan oleh Patrick Hughes yang juga pernah mengarahkan filem The Expendables 3.
Pada dasarnya, filem Hitman’s Bodyguard itu mengisahkan mengenai seorang pengawal terkemuka lakonan Ryan Reynolds telah dilantik untuk mengawasi seorang lelaki yang dikehendaki lakonan Samuel L. Jackson dan harus memberikan keterangan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa.
“Kahebatan filem The Hitman’s Bodyguard sering diperkatakan dalam kalangan masyarakat dan ia secara tidak langsung turut menjadi satu promosi dalam membantu untuk meningkatkan jumlah penjualan tiket filem tersebut,” jelas Presiden Pengedar Lionsgate, David Spitz.
Juara minggu lalu, Annabelle: Creation arahan David F. Sandberg pula harus akur menduduki tangga kedua setelah berjaya mengumpulkan kutipan sebanyak AS$15.5 juta setelah ditayangkan di 3,542 pawagam.
Secara keseluruhan, filem seram keluaran New Line dan Warner Bros yang juga merupakan siri keempat dalam francais Conjuring itu telah berjaya mengumpulkan kutipan setinggi AS$64 juta setelah ditayangkan selama dua minggu di pawagam.
Sementara itu, Logan Lucky yang merupakan sebuah filem komedi arahan Steven Soderbergh dan skripnya pula ditulis oleh Rebecca Blunt pula menduduki tangga ketiga dengan jumlah kutipan sebanyak AS$8.1 juta setelah ditayangkan di 3,031 pawagam.
Walaupun filem tersebut menampilkan barisan pelakon hebat seperti Channing Tatum, Adam Driver, Riley Keough, Daniel Craig, Seth MacFarlane, Katie Holmes, Hilary Swank, Katherine Waterston dan Sebastian Stan.
Hakikatnya, filem komedi ini mengisahkan mengenai tiga orang adik-beradik yang dilakonkan oleh Channing Tatum, Riley Keough dan Adam Driver yang telah merancang untuk melakukan satu rompakan tatkala kebanyakan masyarakat sibuk dengan aksi perlumbaan Coca-Cola 600 NASCAR.
Pernah menjuarai carta selama beberapa minggu, Dunkirk keluaran Warner Bros kini jelas kelihatan masih mendapat perhatian daripada penonton apabila berjaya mengumpulkan kutipan sebanyak AS$6.7 juta setelah ditayangkan di 3,271 pawagam.
Setelah ditayangkan selama enam minggu, filem yang menelan kos perbelanjaan setinggi AS$100 juta itu telah berjaya memberikan keuntungan dengan mengumpulkan kutipan sebanyak AS$392.7 juta secara keseluruhan.
Secara keseluruhan jumlah penjualan tiket pada musim panas pada tahun ini agak menurun sebanyak 13.3 peratus berbanding pada tahun lalu.
Di samping itu, data yang terkumpul oleh ComScore juga turut menjelaskan bahawa jualan tiket setakat ini juga menunjukkan penurunan sebanyak lima peratus berbanding tahun 2016.