Aksi England suam-suam kuku

LONDON, 13 OKT – John Stones menyelamatkan England daripada dimalukan selepas terikat seri 1-1 menentang Hungary ketika perlawanan kelayakan Piala Dunia di Wembley dicemari dengan pertelingkahan antara peminat Hungary dan anggota polis, semalam.

Pasukan bimbingan Gareth Southgate ketinggalan setelah Roland Sallai menyempurnakan sepakan penalti sebelum Stones menyamakan kedudukan pada minit akhir babak pertama.

Meskipun tercicir mata buat kali kedua dalam lapan perlawanan mereka di Kumpulan I, England, yang mendahului kumpulan tersebut, kekal berada di landasan yang betul untuk layak ke Piala Dunia.

Mereka mempunyai kelebihan tiga mata mendahului Poland dan akan dijamin tempat untuk beraksi di kejohanan Piala Dunia Qatar tahun hadapan sekiranya mereka berjaya mengutip empat mata daripada perlawanan menentang Albania dan San Marino pada November.

Selepas membelasah Andorra 5-0 pada minggu lalu, perlawanan semalam merupakan ujian yang lebih serius menentang Hungary yang ditundukkan mereka di Euro 2020 dan Southgate akan merasa bimbang dengan persembahan tidak menentu England.

Reaksi John Stones meraikan jaringan bersama Raheem Sterling semasa pertemuan di Wembley, semalam. – AP

“Persembahan yang mengecewakan. Pujian kepada pasukan Hungary, mereka memberikan masalah kepada taktikal kami dan kami tidak cukup bagus,” kata Southgate.

“Kami tidak bermain pada tahap yang kami harapkan, semudah itu. Kami akan meneliti semula keseimbangan pasukan.

“Sejak awal perlawanan, kami bermain tidak terlalu lancar, sering kehilangan bola dan melakukan perkara dengan berlebihan. Buat kali pertama sejak sekian lama kami terpaksa mengharapkan sesuatu.”

Selain itu, terdapat masalah di luar padang dan peminat Hungary mengejek pemain England kerana melutut sebelum puluhan penyokong pelawat bertelagah dengan pihak polis.

Pihak polis telah menahan seorang peminat kerana ‘kesalahan perkauman’ berikutan komen yang dibuatnya ditujukan kepada pengawal perlawanan. – AFP