Aksi final UCL dipindah ke Porto

PARIS, 13 MEI – UEFA mengumumkan hari ini bahawa perlawanan akhir Liga Juara-Juara antara Manchester City dan Chelsea telah dipindahkan dari Istanbul ke Porto.

Perlawanan yang bakal dilangsungkan pada 29 Mei nanti telah dipindah ke Estadio do Dragao bagi membolehkan penonton dari Britain menghadiri perlawanan ketika perjalanan antara United Kingdom (UK) dan Turki digantungkan kerana pandemik koronavirus.

Terdahulu, badan pengurusan bola sepak Eropah mengumumkan seramai 6,000 peminat dari kedua-dua pasukan dibenarkan untuk datang ke stadium.

“Kami menerima keputusan kerajaan Britain untuk menyenaraikan Turki sebagai senarai merah untuk membuat perjalanan dan adalah jalan terbaik untuk melindungi warganegaranya dari penularan virus tetapi mereka juga telah memberikan kami cabaran besar untuk mengadakan perlawanan final yang menampilkan dua pasukan England,” presiden UEFA, Alesksander Ceferin berkata dalam kenyataan.

“Selepas tahun yang dialami oleh peminat, adalah tidak patut mereka tidak diberikan peluang menyaksikan pasukan mereka di perlawanan terbesar musim ini,” tambahnya.

Warganegara UK yang pulang dari negara-negara senarai merah dimestikan untuk menjalani kuarantin di hotel yang dibenarkan oleh kerajaan selama 10 hari. Awal minggu ini, laporan akhbar mendakwa perlawanan akan dilangsungkan di Stadium Wembley.

Kumpulan peminat dari The Blues dan City memohon perlawanan dipindahkan ke England.

Setiausaha Pengangkutan UK, Grant Shapps berkata dia menyambut baik perlawanan tersebut diadakan di London. – AFP