Aksi hebat Kane benam Leicester

LONDON, 20 JULAI – Jose Mourinho memberi amaran awal kepada Harry Kane kelmarin bahawa hubungannya yang istimewa dengan kelab Tottenham Hotspur bermaksud beliau tidak akan merasa senang untuk bermain bersama kelab lain.

Kane menjaringkan dua gol dengan hebat ketika Tottenham mempertingkatkan usaha mereka untuk layak ke Liga Europa dengan kemenangan 3-0 ke atas Leicester di utara London pada perlawanan semalam.

Ketua pasukan England itu kini telah berjaya menjaringkan enam gol sejak Liga Perdana Inggeris (EPL) kembali dan telah menjaringkan gol ke-13 dari 18 perlawanan di bawah pengurus Mourinho.

Itu adalah teguran keras bagi pengkritik yang mendakwa penyerang Tottenham tidak dapat maju ke depan dalam taktik rancangan permainan Mourinho.

Kane berkata pada awal musim ini mengenai perlunya Tottenham menandingi cita-citanya jika ingin beliau terus kekal bersama kelab di mana dia masih belum memenangi trofi utama.

Aksi Harry Kane ketika menjaringkan gol melepasi penjaga gol Leicester, Kasper Schmeichel semasa perlawanan EPL antara Tottenham Hotspur dan Leicester City, di Stadium Tottenham Hotspur, London, semalam. – AP

Tetapi, di tengah spekulasi juga beliau ingin pergi meninggalkan Tottenham, pemain London itu kini telah menjaringkan 185 gol untuk kelab yang dia sertai sejak berusia 11 tahun.

Mourinho percaya bahawa hubungannya serta ikatan dengan Tottenham menjadikan Kane sebagai pemain seperti sekarang ini.

“Saya rasa semua orang menganggap dia pemain hebat dan Tottenham sangat beruntung memilikinya kerana dia pemain dari sejak akademi Tottenham,” kata Mourinho.

“Semua ini menjadikannya benar-benar pemain istimewa untuk kami yang mungkin tidak begitu istimewa bermain untuk pasukan lain. Dia benar-benar istimewa untuk kami, dia benar-benar istimewa untuk Tottenham.

“Sudah tentu kami mahu dia bahagia dan baginya bahagia adalah menginginkan kemenangan, menjaringkan gol dan saya sangat gembira setelah kecederaan yang sangat sukar dialaminya dia telah kembali pulih di mana dia akan mengakhiri musim ini dengan sempurna.

“Semoga awal musim depan dia akan menjadi yang lebih baik.” – AFP