Aksi Lyon-Marseille dihentikan selepas Payet dibaling botol

PARIS, 22 NOV – Perlawanan Ligue 1 kelmarin antara Lyon dan Marseille ditangguhkan hampir dua jam selepas ia terganggu apabila Dimitri Payet terkena botol air yang dibaling oleh peminat buat kali kedua musim ini.

Kapten Marseille itu memerlukan rawatan selepas botol dibaling terkena kepala ketika dia bersedia untuk mengambil sepakan sudut buat pasukan pelawat pada minit kelima, menyebabkan kedua-dua pasukan kembali ke bilik persalinan.

Presiden Marseille, Pablo Longoria menyifatnya sebagai ‘detik hitam untuk bola sepak.’ “Dimitri terjejas secara psikologi, ia bukan perkara normal,” katanya kepada Amazon Prime.

“Kami sentiasa mengutuk apa-apa jenis keganasan, ia memberi kesan kepada semua orang. Tiada siapa yang suka bola sepak boleh gembira malam ini. Kesannya agak ganas, dia sangat terjejas, dengan ais diletak di kepalanya di bilik persalinan.” – AFP

Pemain tengah Marseille, Dimitri Payet meninggalkan padang selepas terkena botol air dalam perlawanan L1 menentang Lyon kelmarin. – AFP