Aktif ikuti pertunjukan fesyen

Pelakon dan pengacara, Noor Neelofa Mohd Nor, 30 bersyukur kerana menjadi artis tanah air yang paling banyak mengikuti pertunjukan fesyen di New York, Amerika Syarikat.

Neelofa berkata, dia menzahirkan penghargaan apabila menerima undangan pihak penganjur bagi mengikuti pertunjukan itu yang bermula baru-baru ini.

“Alhamdulillah, saya dapat bertemu pereka fesyen terkemuka dunia seperti Tommy Hilfiger. Saya juga bersua muka bersama model hijab terkemuka, Halima Aden dengan menimba pengalaman berhubung rekaan pakaian serta peragaan,” katanya kepada media.

Sebelum ini beberapa artis tanah air pernah menyertai New York Fashion Show antaranya Jow Flizzow dan Farah Nabilah dengan mengikuti dua pertunjukan. “Menerusi jemputan New York Fashion Show, saya menyertai 13 aktiviti, lima pertunjukan fesyen, makan malam bersama mereka (pereka fesyen) selain mencuba pakaian di bilik pameran,” katanya.

Menurutnya, sewaktu mencuba busana Tommy Hilfiger di bilik persalinan, baru-baru ini, pereka fesyen itu menegurnya lalu memberikan nasihat berhubung pemakaian. “Dalam sesi ‘fitting’, Tommy Hilfiger muncul dengan memberikan kata pujian. Dia sangat baik dan berkongsi pandangan bagaimana menggayakan busana,” katanya.

Katanya, dia turut menerima undangan menghadiri pertunjukan fesyen di Paris, Perancis pada 12 dan 13 September ini sebelum bertolak ke Milan, Itali untuk menyertai pertunjukan fesyen. – Agensi

Neelofa bersyukur kerana menjadi artis tanah air yang paling banyak mengikuti pertunjukan fesyen di New York, Amerika Syarikat. – Agensi