Sunday, March 23, 2025
28.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Aktifkan gaya hidup elak diabetes

    DIABETES merupakan salah satu penyakit tidak berjangkit (NCD) yang menjadi masalah kesihatan global yang terbesar pada abad ke-21 di mana ia menjadi punca dalam mengakibatkan komplikasi kronik yang mengubah kehidupan.

    Pada dasarnya, penyakit diabetes sering dikaitkan dengan masalah kegemukan, mempunyai paras glukosa dalam darah yang tinggi dan mempunyai tekanan darah yang tinggi melebihi paras normal semasa disaring.

    Golongan individu yang didapati berisiko telah diberi rujukan untuk menjalani pemeriksaan lanjut dan pengesahan penyakit di klinik kesihatan yang berhampiran.

    Hari Diabetes Sedunia juga disambut pada setiap tahun yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang diabetes, termasuk punca, langkah pencegahan dan komplikasi diabetes kepada orang ramai. Penyakit NCD adalah penyakit yang senyap dan kebanyakannya tidak menunjukkan simptom.

    Kepentingan ujian saringan berkala

    Saringan kesihatan secara berkala mampu mengesan penyakit di peringkat awal sebelum komplikasi terjadi.

    Di samping itu, individu yang mengetahui bahawa mereka mempunyai status berat badan, tekanan darah serta paras gula atau kolesterol dalam darah yang tidak normal mampu untuk mengurangkan risiko dan mengelakkan terjadinya penyakit NCD dengan mengamalkan gaya hidup sihat.

    Sebahagian penting daripada pencegahan penyakit ialah mengetahui risiko anda.

    Perubahan tingkah laku kearah mengamalkan gaya hidup yang sihat oleh individu dan komuniti secara keseluruhannya, daripada aspek amalan gaya pemakanan secara sihat, hidup yang aktif dan bebas dari asap rokok adalah amat penting dalam mengurangkan risiko bagi seseorang individu itu untuk mendapat penyakit NCD.

    Penyakit NCD boleh dicegah, namun pencegahan yang efektif memerlukan penglibatan aktif individu dan komuniti

    Amalkan gaya hidup sihat bagi mengelakkan penyakit yang tidak berjangkit seperti diabetes.
    Amalkan gaya hidup sihat bagi mengelakkan penyakit yang tidak berjangkit seperti diabetes.

    Tidak aktif punca utama diabetes

    Diabetes juga boleh dianggap sebagai ‘penyakit gaya hidup’ kerana ia lebih lazim dialami oleh kalangan orang yang tidak aktif, mempunyai berat badan berlebihan atau obes.

    Dengan perubahan gaya hidup dan pemeriksaan awal secara tidak langsung boleh mencegah diabetes.

    Pengurusan diabetes yang berkesan menjadi kunci untuk memastikan ia tidak menjadi statistik kesihatan semata-mata.

    Jika tidak ditangani, diabetes boleh menyebabkan komplikasi serius, termasuk sakit jantung, kegagalan buah pinggang, strok, buta mata dan amputasi anggota badan.

    Diabetes yang sering dirujuk oleh doktor sebagai diabetes melitus, merangkumi sekumpulan penyakit metabolik di mana pesakit mempunyai tahap glukosa darah (gula darah) yang tinggi, sama ada kerana pengeluaran insulin tidak mencukupi atau kerana sel badan tidak bertindak balas dengan sewajarnya kepada insulin atau kedua-dua sebab sekali.

    Antara gejala diabetes yang paling umum adalah termasuk kerap kencing, rasa teramat haus dan lapar, kenaikan berat badan, kehilangan berat luar biasa, kelesuan, luka dan lebam yang tidak sembuh, disfungsi seks lelaki serta rasa kebas pada tangan dan kaki.

    Jika anda menghidap diabetes, anda mempunyai kebarangkalian dua kali lebih tinggi berbanding seseorang yang tiada diabetes untuk mengalami sakit jantung dan strok. Penghidap diabetes juga cenderung untuk mengalami sakit jantung atau strok pada usia lebih awal daripada orang lain.

    Diabetes jenis 1 kekal sepanjang hayat, tetapi boleh dikawal dengan menggunakan insulin.

    Manakala, diabetes jenis 2 biasanya dihidapi disebabkan oleh amalan gaya hidup yang tidak sihat dan boleh dicegah, iaitu menerusi kombinasi senaman, pemakanan yang sihat dan kawalan berat badan.

    Komplikasi yang dikaitkan dengan diabetes yang tidak dikawal adalah termasuk kerumitan komplikasi mata, masalah jantung, hipertensi, kesihatan mental dan strok.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda