Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 FEB – Menanai dan menjaga kepentingan keselamatan awam daripada cengkaman jenayah merupakan antara matlamat utama penubuhan pengawasan kejiranan (PK) di samping membantu meningkatkan taraf kualiti hidup bermasyarakat.
Sehubungan itu, aktiviti pendekatan dan operasi rondaan telah giat dilaksanakan oleh ahli-ahli PK bersama pihak keanggotaan balai-balai polis di beberapa kawasan, baru-baru ini.
Bagi aktiviti pendekatan, ia telah diadakan di STKRJ Kampung Tungku, Gadong yang diungkayahkan oleh Focal Point PK Balai Polis
Pusat bersama pemangku ketua kampung tersebut, Haji Hassan bin Haji Ali.
Semasa pendekatan itu, antara agenda yang dibincangkan adalah aktiviti yang dijalankan bagi memeduli serta mengambil berat tentang perkembangan sekitar kampung dengan kedua-dua pihak bersetuju menjalankan pemantauan dari semasa ke semasa sekali gus menghalang segala pencerobohan serta cengkaman gejala-gejala jenayah.

Sementara itu, dua operasi rondaan PK turut diadakan di kawasan Kampung Sungai Bunga yang melibatkan Balai Polis Kampong Ayer, diketuai oleh Pegawai Menguasa Balai Polis Kampong Ayer, Inspektor Hamdan bin Mantul; bersama ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Naim bin Haji Khamis selaku penghulu Mukim Kota Batu dan ketua-ketua kampung di sekitarnya.
Manakala rondaan PK seterusnya adalah di Daerah Belait yang melibatkan PK RPN Kampung Panaga.
Sebelum rondaan dimulakan, sesi taklimat ringkas mengenai objektif rondaan dan langkah-langkah keselamatan dibincangkan.
Hasil rondaan tidak mendapati apa-apa kejadian yang mencurigakan atau unsur-unsur jenayah.
Aktiviti seumpamanya dan operasi-operasi tersebut adalah amat penting dalam menjayakan program PK ke arah matlamat yang tepat dan fokus kepada keamanan dan kehidupan masyarakat dengan program rondaan itu akan sentiasa dijalankan bagi menghalang sebarang jenayah dan sekali gus mengurangkan kadar jenayah di negara ini.




























