Aktivis didakwa komen kerabat diraja

BANGKOK, 8 OKT – Seorang aktivis prodemokrasi telah didakwa berhubung catatan ‘tidak sesuai’ dalam media sosial, kata polis hari ini, ketika pihak berkuasa mengenakan undang-undang siber ketat ke atas kritikan tajam terhadap monarki berkuasa.

Polis menangkap Kan Pongprapapan berusia 25 tahun kelmarin dan mendakwanya kerana melanggar Akta Jenayah Komputer selepas catatan dalam Facebooknya menyentuh mengenai kehidupan bergolak kerabat diraja terkenal di dunia itu.

Dakwaan itu boleh membawa hukuman penjara sehingga lima tahun.

Kan, yang dibebaskan kemudian atas ikat jamin, tidak menyebut monarki kaya Thailand itu, yang dilindungi daripada kritikan oleh salah satu undang-undang fitnah diraja paling ketat di dunia.

Undang-undang menyekat laporan kes-kes melibatkan monarki dalam negara di mana semua media harus menapis apabila memperkatakan tentang institusi berkenaan.

“Dia (Kan) telah ditangkap di rumahnya semalam,” kata polis jenayah siber Thailand dalam satu kenyataan, menambah mesej tersebut ‘mendorong kebencian’.– AFP