Aktivis dipenjara ‘berkomplot guling Putin’

MOSCOW, 7 OGOS – Mahkamah di Moscow semalam menjatuhi hukuman penjara lama ke atas tiga aktivis muda kerana berkomplot mengguling Presiden Vladimir Putin dalam kes yang mencetuskan bantahan dan dakwaan tindakan melampau polis.

Pada 2018, pihak berkuasa menahan 10 orang menuduh mereka menyertai sel anarki dipanggil ‘New Greatness’ yang berkomplot melancarkan satu pemberontakan ke atas kerajaan.

Penyokong kumpulan berkata kes tersebut direka oleh perkhidmatan keselamatan FSB dan ejen menyusup memasuki kumpulan, membiayai operasi dan memaksa anggotanya menyewa ruang pejabat dan menubuhkan satu piagam.

Kumpulan hak berpengaruh Rusia Memorial telah mengumumkan lelaki dan wanita muda berkenaan sebagai tahanan politik.

Hakim di sebuah mahkamah Moscow menjatuhi hukuman penjara tujuh tahun ke atas Ruslan Kostylenkov, 27 tahun atas kesalahan di bawah kanun jenayah, hukuman penjara enam setengah tahun ke atas Pyotr Karamzin, 34, dan hukuman penjara enam tahun ke atas Vyacheslav Kryukov, 22, kerana menubuhkan kumpulan pelampau.

Ketiga-tiga mereka telah ditahan sebelum perbicaraan sejak Mac 2018.

Empat orang lain menerima hukuman digantung empat hingga enam setengah tahun atas dakwaan yang sama, menurut wartawan AFP dalam bilik mahkamah.

Polis menahan sekurang-kurangnya tiga orang di luar mahkamah kerana membantah perbicaraan. Seorang pembantah dalam pakaian seragam polis menyelar kerongkong sebuah patung sebelum diberkas oleh polis. – AFP

Dmitry Poletayev, anggota persatuan pelampau ‘The New Greatness’, bercakap dengan media di luar bangunan mahkamah selepas dijatuhi hukuman penjara enam tahun di Moscow pada 6 Ogos 2020. – AFP