Aktivis ditahan dalam serbuan junta

BANGKOK, 24 OKT – Seorang aktivis yang menjadi terkenal semasa tunjuk perasaan pelajar pada 1988 di Myanmar ditahan semasa serbuan semalam, menurut isterinya hari ini, langkah terbaharu gerakan anti-junta ketika pihak tentera membanteras golongan yang tidak sehaluan.

Myanmar yang mula bergolak sejak jeneral tentera menyingkirkan Aung San Suu Kyi dalam rampasan kuasa pada Februari, mencetuskan bantahan di seluruh negara yang menyaksikan lebih 1,100 orang terbunuh di tangan pasukan keselamatan.

Penentang Junta, termasuk sekutu Suu Kyi iaitu Liga Parti Demokrasi Kebangsaan dan aktivis, keluar untuk membuat bantahan di seluruh negara, sementara sebilangan penduduk kampung mengangkat senjata, membentuk pasukan militan tempatan untuk mempertahankan diri mereka.

Semalam, Kyaw Min Yu, 52, yang lebih dikenali sebagai Ko Jimmy, ditahan dalam serbuan tentera di kompleks rumahnya di bandar Dagon utara Yangon.

“Dia menetap di rumah bersama dua lagi aktivis lain yang berjaya melarikan diri dari pintu belakang,” isterinya, Nilar Thein memberitahu AFP, menambah polis memaklumkan kepadanya mengenai keberadaan suaminya.

Nilar Thein dan Ko Jimmy merupakan sebahagian daripada pergerakan Generasi 88 yang mencabar kerajaan tentera Myanmar sebelum ini.

Mereka juga memainkan peranan besar dalam bantahan anti kerajaan pada 2007, yang digelar sebagai ‘Revolusi Saffron’ kerana disertai oleh sami yang memakai pakaian jingga.

Pelapor khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di Myanmar kelmarin meningkatkan amaran mengenai perkumpulan tentera di bahagian utara negara, dan memberi amaran komuniti antarabangsa untuk bersedia dengan ‘lebih banyak jenayah kekejaman besar-besaran’. – AFP

Gambar fail bertarikh 19 Oktober menunjukkan para tahanan melambai ahli keluarga di Penjara Insein, Yangon. Seorang aktivis Myanmar ditahan dalam serbuan di rumahnya pada Sabtu sebagai sebahagian usaha tentera membanteras golongan yang tidak sehaluan. – Xinhua