Friday, April 19, 2024
30.4 C
Brunei

    -

    Aktivis iklim bantu selamatkan perkampungan Jerman

    LUTZERATH, JERMAN – Selepas petani terakhir berkemas dan pergi pada Oktober lalu, aktivis iklim adalah satu-satunya orang yang tinggal di kampung Luetzerath, Jerman, yang terletak di kawasan yang kaya dengan arang batu.

    Di pondok-pondok yang terletak enam meter di bawah pokok-pokok, orang muda yang berkempen di sana berkata mereka boleh bertahan menentang pihak berkuasa jika mereka cuba menghalau.

    Mereka berada di sana dalam usaha untuk menghalang perkampungan itu dirampas bagi membolehkan peluasan lombong arang batu terbuka yang berdekatan.

    Mereka tidak tahu bila polis mungkin akan datang untuk menghalau mereka, tetapi dengan Jerman memerlukan lebih banyak arang batu, kebanyakan berpendapat ia akan berlaku tidak lama lagi.

    Ekonomi terbesar Eropah itu telah memulakan semula sebahagian daripada inventori loji janakuasa arang batu untuk melegakan tekanan ke atas kemudahan berkuasa gas, berikutan pemotongan bekalan dari Rusia susulan pencerobohan Ukraine.

    Tanda bandar Luetzerath ditutup dengan pelekat di Luetzerath, barat Jerman, berhampiran dengan lombong terbuka Garzweiler. – AFP
    Penunjuk perasaan memegang poster berbunyi ‘Ini juga mengenai keputusan jika planet kita akan bertahan’ semasa mereka menghadiri demonstrasi di lombong terbuka Garzweiler. – AFP
    Sudut pandangan aktivis iklim digambarkan semasa demonstrasi. – AFP
    Aktivis mengambil bahagian dalam demonstrasi menentang perlombongan arang batu. – AFP
    Aktivis telah meletakkan tanda pangkah kuning sebagai simbol penentangan terhadap perlombongan arang batu. – AFP
    Pemandangan daripada udara menunjukkan tali sawat untuk arang di lombong terbuka Garzweiler. – AFP
    Aktivis telah menghiasi dunia dengan reben yang bertulis ‘Lindungi iklim’ semasa demonstrasi. – AFP
    Ramai aktivis melukis muka mereka dengan perkataan Stop Coal. – AFP
    Gambar menunjukkan lombong terbuka Garzweiler berhampiran Luetzerath, barat Jerman. – AFP

    Lebih seribu penunjuk perasaan turun di Luetzerath, sebagai simbol penentangan terhadap bahan api fosil, untuk menggesa lebih banyak tindakan daripada peserta pada persidangan COP27 di Mesir, baru-baru ini.

    Ramai yang telah melukis muka mereka dengan perkataan Stop coal.

    Aktivis membentangkan tanda pangkah kuning besar sebagai simbol menentang pengembangan lombong arang batu di sebuah padang.

    Alma, seorang aktivis Perancis yang menggunakan nama samaran, sebelum ini berkata dia tidak tahu bila pemindahan itu dirancang.

    “Ini soal tanggungjawab, yang sukar diambil oleh pihak berkuasa kerana ia adalah operasi besar, yang mana beribu-ribu pegawai polis perlu digerakkan selama beberapa minggu,” katanya.

    Perjanjian perlombongan

    Selepas belajar, Alma memutuskan untuk bergiat sebagai aktivis sepenuh masa dan merupakan antara yang pertama menubuhkan kem aktivis di Luetzerath dua tahun lalu.

    Seorang demi seorang, penduduk Luetzerath telah pergi kerana rumah mereka dirampas dan mereka diberi pampasan serta ditempatkan semula.

    Dia dan berpuluh-puluh orang lain yang telah menyertainya di kampung yang didudu-ki itu berasa dikhianati awal tahun ini apabila kerajaan yang diketuai oleh Demokrat Sosial, Olaf Scholz, mengumumkan kompromi dengan gergasi tenaga RWE untuk membenarkan lanjutan lombong berhampiran.

    Di bawah perjanjian itu, lima kampung berdekatan akan diselamatkan, tetapi Luetzerath ditetapkan untuk dikosongkan.

    Walaupun RWE, salah satu penjana kuasa terbesar di Eropah, berkata ia akan menghentikan pengeluaran elektrik berkarbon pada 2030, para aktivis tidak percaya.

    “Jika RWE mengekstrak semua arang batu di bawah Luetzerath, Jerman pasti akan melanggar perjanjian Paris (iklim) kerana pencemaran daripada lombong. Oleh itu, kampung itu bukan sekadar simbol, ia adalah titik kritikal dalam memerangi perubahan iklim,” kata Alma.

    ‘Dalam bahaya’

    Di seberang jalan, terletak lubang arang batu, tempat jengkaut bergerak merentasi bukit pasir hitam keemasan.

    Lignit yang masih dalam tanah di sini akan diperlukan ‘dari 2024’ untuk membekalkan loji kuasa apabila lombong lain ditutup, kata RWE.

    Menurut laporan 2021 oleh badan pemikir ekonomi DIW, syarikat tenaga itu boleh mengeluarkan 100 juta tan arang batu lagi tanpa perlu merobohkan Luetzerath dan lima kampung yang lain.

    Walaupun menggunakan lebih banyak kuasa arang batu dalam krisis tenaga semasa, Jerman berkata ia tidak goyah daripada matlamatnya untuk memansuhkan penggunaan tenaga arang batu menjelang 2030.

    Aktivis iklim mahu tindakan dipercepatkan untuk mengurangkan pencemaran.

    Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, beberapa aktivis telah menggunakan cara yang lebih ekstrem untuk memastikan suara mereka didengar termasuk dengan melekatkan diri mereka di jalan utama dan menghalang lalu lintas.

    Di Luezerath, aktivis iklim telah menubuhkan kem di bawah pokok untuk mengelak diusir dengan cepat oleh polis.Menggunakan rangkaian kabel, mereka telah menyambungkan perkhemahan mereka. Aktivis berpendapat mereka boleh bertahan selama beberapa minggu.

    Di atas tanah di tengah-tengah kem, sekitar dua puluh aktivis cuba menaikkan tiang yang diperbuat daripada batang pokok gergasi dengan sistem takal.

    “Tiang-tiang diikat pada pokok-pokok dengan cara yang sepatutnya menjadikannya mustahil untuk memotong tali tanpa membahayakan nyawa seseorang,” kata Alma.

    Menggariskan komitmen mereka, seorang aktivis tanpa nama berkata berhadapan kematian adalah keseluruhan strategi aktivis. – AFP

    Artikel sebelum ini
    Artikel seterusnya
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...