Aktivis langgar peraturan ikat jamin dipenjara

BANGKOK, 4 SEPT – Sebuah mahkamah di Thailand semalam membatalkan ikat jamin dua aktivis politik kerana melanggar syarat ditetapkan, selepas ditahan kerana terlibat dengan demonstrasi antikerajaan.

Mahkamah Jenayah Bangkok membatalkan ikat jamin peguam hak asasi manusia, Anon Nampa, 35, dan aktivis pelajar Panupong Jadnok, 24, dan mereka dihantar ke Penjara Reman Bangkok pada 5:20 petang (waktu tempatan) semalam. Mereka boleh ditahan sehingga 48 hari.

Menurut mahkamah kedua-duanya, yang pertama kali ditahan pada 7 Ogos, dibenarkan diikat jamin pada keesokan harinya, melanggar syarat pembebasan dengan meneruskan kegiatan politik mereka.

Mahkamah membenarkan mereka mengemukakan permohonan baharu, tetapi ditolak.

Anon dan Panupong menyertai tunjuk perasaan antikerajaan yang dipimpin oleh pelajar, diadakan hampir setiap hari sejak 18 Julai, di mana mereka menuntut pembubaran parlimen, menghentikan gangguan terhadap pengkritik kerajaan dan meminda semula perlembagaan.

Kedua-duanya didakwa atas beberapa pertuduhan, termasuk menghasut dan melanggar peraturan perhimpunan awam.

Setakat ini, pihak berkuasa sudah mendakwa lebih 30 penunjuk perasaan termasuk pemimpin pelajar. – Bernama