Sunday, January 26, 2025
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Aktiviti 4 minit sehari elak serangan jantung

    SYDNEY, 5 DIS – Satu kajian penyelidikan dari Australia mendapati bahawa aktiviti fizikal ha-rian yang singkat tetapi intensif boleh mengurangkan risiko kejadian kardiovaskular utama, termasuk serangan jantung, hampir separuh dalam kalangan wanita pertengahan usia.

    Kajian tersebut yang diterbitkan oleh Universiti Sydney hari ini, mendapati bahawa purata empat minit aktiviti fizikal gaya hidup intensif yang singkat (VILPA) sehari dapat mengurangkan risiko kejadian kardiovaskular utama termasuk serangan jantung, bagi wanita pertengahan usia.

    Wanita dalam lingkungan usia 40-79 tahun yang tidak melakukan senaman berstruktur secara tetap tetapi melaksanakan purata 3.4 minit VILPA setiap hari didapati kurang berisiko mengalami kejadian kardiovaskular utama sebanyak 45 peratus berbanding mereka yang tidak melakukan sebarang VILPA.

    Pengarang utama kajian itu, Emmanuel Stamatakis, berkata bahawa aktiviti fizikal intensif harian yang dilakukan dalam tempoh singkat sehingga satu minit terbukti dapat meningkatkan kesihatan jantung dalam kalangan wanita pertengahan usia.

    “Menjadikan aktiviti fizikal intensif singkat sebagai sebahagian daripada gaya hidup harian mungkin merupakan pilihan yang menjanjikan bagi wanita yang tidak berminat dengan senaman berstruktur atau tidak dapat melakukannya atas sebab tertentu,” katanya dalam satu kenyataan media.

    “Sebagai langkah permulaan, ia boleh dilakukan dengan cara mudah seperti memanfaatkan beberapa minit untuk melakukan pelbagai aktiviti seperti menaiki tangga, membawa barangan belian, berjalan mendaki, bermain kejar-kejar dengan anak atau haiwan peliharaan, ataupun berjalan pantas,” tambahnya.

    Kajian tersebut menggunakan data daripada 22,368 peserta dalam kajian Biobank United Kingdom (UK) yang memakai alat penjejak aktiviti fizikal antara 2013 hingga 2015.

    Kesihatan kardiovaskular peserta dipantau melalui rekod hospital dan kematian sehingga November 2022. – Xinhua

    Gambar Canva
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda