Aktiviti agama, kebajikan semarak Ramadan

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 MEI – Dalam usaha meraih keberkatan Ramadan, Dynamik Technologies tidak ketinggalan menganjurkan acara keagamaan dan berkebajikan sepanjang bulan ini.

Dengan tema tahun ini, ‘Togetherness’, aktiviti dan acara membabitkan kakitangannya, komuniti di Taman Teknologi Anggerek Desa dan orang awam.

Aktiviti utama hariannya merupakan Tadarus Al-Quran dari awal Ramadan lagi dan diakhiri dengan Majlis Khatam Al-Quran yang dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Dayang Haslina binti Haji Mohd Taib.

Dynamik turut menganjurkan amal kebajikan melalui Projek Amal Dynamik Prihatin di mana kakitangannya menyampaikan sumbangan kepada enam keluarga kurang berkemampuan di Daerah Brunei dan Muara. Sumbangan merupakan kutipan derma daripada para pegawai dan kakitangannya yang bertujuan meringankan bebanan keluarga-keluarga tersebut dalam bulan Ramadan dan Lebaran yang menjelang.

Selain itu, ia juga mengagihkan sejumlah 400 botol Air Zam-Zam kepada pesakit di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) dan Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah (PMMPMHAMB).

Dynamik juga mengakhiri aktiviti keagamaannya dengan ceramah bertemakan ‘Togetherness’ dengan kerjasama Pihak Berkuasa Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kebangsaan (SHENA) dan terbuka kepada orang ramai melalui penstriman langsung di Instagram.

Hadir menyampaikan ceramah ialah Dr Haji Ismuhadi bin Haji Abdullah dari Pusat Dakwah Islamiah. Ceramah diteruskan lagi dengan satu sesi pembayaran Zakat Fitrah bagi semua komuniti Taman Teknologi Anggerek Desa melalui kaedah pandu lalu di kawasan berhampiran.

Dynamik Technologies melalui aktiviti-aktiviti yang dijalankan mengutamakan keselamatan dengan mengamalkan penjarakan fizikal, menggunakan pilihan online dan menggunakan pakaian pelindung berdasarkan garis panduan daripada Kementerian Kesihatan susulan pandemik COVID-19 di negara ini.

Melalui pelbagai aktiviti tersebut, Dynamik mahu menyemai sifat pemurah, berkebajikan dan menghormati dalam kalangan kakitangannya dan masyarakat sekitarnya.

Wakil Dynamik Technologies, Awang Mohd Faizul bin Haji Yahya menyerahkan sumbangan Air Zam-Zam kepada Pemangku Ketua Pegawai Gred Khas Kementerian Kesihatan, Awang Abdul Hazis bin Haji Ahad. – Gambar serahan Dynamik Technologies